6 ketua PKR negeri isytihar sokongan kepada Anwar

Ketua PKR negeri Amran Kamarudin, Johari Abdul, Halim Bachik, Azan Ismail, Zahir Hassan dan Mohamad Supardi Md Noor dalam sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, hari ini.

PETALING JAYA: Di sebalik konflik dalaman yang berlaku melibatkan pucuk pimpinan pusat PKR, hari ini beberapa ketua PKR negeri menandatangani surat sokongan kepada presiden parti, Anwar Ibrahim.

Koodinator Majlis Pengerusi-Pengerusi Pimpinan Negeri (MPN), Johari Abdul turut mendakwa semua 14 ketua negeri itu akan menandatangani sokongan kepada Anwar.

Katanya, sehingga kini, 6 ketua negeri menandatangani melibatkan, Kelantan, Terengganu, Kedah, Melaka, Perlis dan Wilayah Persekutuan, manakala baki 8 lagi dijangka akan melakukannya di Port Dikcson malam ini, termasuk orang kuat timbalan presiden, Aminudin Sharin menerusi satu perjumpaan tertutup dengan Anwar.

Beliau turut memaklumkan, Aminudin juga dimaklumlan perkara ini.

“Berapai ramai yang akan tandatangan kita tengok petang ini menerusi perjumpaan di PD, dan kita akan muat naik menerusi laman rasmi PKR. Kita juga telah maklum kepada dia (Aminuddin) tapi belum respon, lagi 2, 3 pemimpin juga belum respon.

“Kami menyokong penuh presiden parti. Kami juga menyokong usaha presiden parti membangunkan parti dan menjadikan PKR parti yang kuat.

“Kami berdiri teguh dibelakang presiden menghadapi cabaran jika ada pihak mahu melemahkan parti,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat PKR hari ini sambil memaklumkan MPN baru sahaja ditubuhakn hari ini dan telah mengadakan mesyuarat pertama.

Johari turut memaklumkan, penubuhan MPN tiada kaitan dengan masalah dalaman parti yang berlaku di peringkat atasan melibatkan kumpulan pro Anwar dan juga pro Azmin.

“Fokus kami untuk menjaga kebajikan rakyat peringkat bawah ini,” katanya.

Bulan madu sudah tamat

Dalam perkembangan sama, Johari berkata tempoh bulan madu sudah berakhir dan kini pemimpin PKR perlu membantu rakyat dan menunaikan manifesto yang masih belum terlaksana.

Menurutnya, beliau memahami keadaan di mana PKR sudah lama menjadi pembangkang dan perlu melakukan beberapa penyelarasan ketika menjadi kerajaan.

“Namun sekarang dah lebih setahun dan saya rasa tempoh bulan madu sudah berakhir. Tolong dengar suara kami kerana kami tahu rakyat perlu dibantu.

“Kita tidak kata diabaikan tapi tidak berikan perhatian sepenuhnya.

“Kami tahu pemimpin atasan mungkin sibuk tapi kami lebih rapat dengan rakyat. Sebab itu penubuhan majlis pengerusi ini sangat penting,” katanya MPN akan menjadi orang tengah antara negeri dan pentadbir Putrajaya.

Berikut senarai MPN:

Perak: Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak

Negeri Sembilan: Aminuddin Harun

Kedah:Johari Abdul

Pulau Pinang: Muhammad Bakhtiar Wan Chik

Sabah: Christina Liew Chin Jin

Sarawak: Baru Bian

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur: Zahir Hassan

Melaka: Halim Bachik

Johor: Hassan Abdul Karim

Terengganu: Azan Ismail

Pahang: Fuziah Salleh

Perlis: Amran Kamarudin

Selangor: Amirudin Shaari

Kelantan: Mohamad Suparadi

Dua hari lalu Anwar berkata beliau menyokong gesaan supaya Azmin bercuti atau meletak jawatan sekiranya kesahihan video seks sejenis yang dikaitkan dengan bekas ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Aziz terbukti.

“Pada awalnya, saya katakan Azmin tidak perlu bercuti kerana ia peluru tembakan rambang. Sekarang ini perdana menteri sudah beri kenyataan baru bahawa terpulang kepada Azmin sendiri.

“Sekiranya video itu sahih, maka sepatutnya dia meletakkan jawatan, tetapi kita masih tidak dapat pengesahan,” katanya.

Menyusuli kenyataan Anwar, sekumpulan pemimpin kanan PKR mempersoalkan tindakan Anwar yang disifatkan “memecah belah kesatuan parti”.

“Justeru berdasarkan penafian tegas YB Timbalan Presiden, Mohamed Azmin berkaitan hal ini, presiden sewajarnya mempertahankan timbalan presiden demi memelihara muafakat utuh PKR dan tidak sama sekali cuba mengusir kedudukan timbalan presiden dalam kerajaan tanpa sebarang asas yang kukuh,” kata kenyataan ditandatangani 27 pemimpin PKR, termasuk naib presiden, ahli Majlis Pimpinan Pusat dan ahli Parlimen.

Antara mereka termasuk Zuraida Kamarudin, Xavier Jayakumar, Tian Chua, Amirudin Shari, Saifuddin Abdullah, Sivarasa Rasiah dan Maria Chin Abdullah.

Turut menandatangani kenyataan bersama itu ialah naib presiden Ali Biju, ketua Wanita PKR Haniza Talha, timbalan setiausaha agung Dr Santhara, Rashid Hasnon, Elizabeth Wong, Rahimah Majid, Zakaria Abdul Hamid, Dr Mansor Othman, Kamaruddin Jaafar, Azmizam Zaman Huri, Gan Pei Nei, Hee Loy Sian, Lee Kai Loon, Baru Bian, Steven Chong, Jonathan Yasin dan Willy Mongin.

27 pimpinan PKR juga berkata Anwar sepatutnya memberikan kepimpinan yang jelas terhadap persoalan utama untuk membanteras komplot politik jahat bagi menjatuhkan Azmin.

Pimpinan PKR itu juga hairan dengan meminta Anwar menyorot kembali saat ketika ahli PKR teguh mempertahankan beliau daripada fitnah jahat yang menggunakan fitnah dan video seks sebagai alat politik biarpun disahkankan tulen pada 2011.

Ditanya mengenai penahanan 8 individu termasuk pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador merangkap pembantu Anwar berhubung siasatan polis melibatkan skandal video seks, Johari berkata tiada siapa yang kebal daripada tindakan undang-undang.

“Polis ada undang-undang juga. Kalau nak tahan buat siasatan, itu kuasa polis. Kita ada undang-undang dan peraturan. Tiada siapa yang kebal daripada undang-undang,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata, siasatan mereka juga mendedahkan wujud “pakatan jahat” yang didalangi oleh pemimpin sebuah parti politik.