80 berhimpun di IPD Dang Wangi untuk Farhash

KUALA LUMPUR: Hampir 80 orang dipercayai ahli PKR berhimpun di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi malam tadi sebagai tanda solidariti untuk Ketua PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, yang masih ditahan dalam siasatan ke atas video seks sejenis mirip menteri.

Tunjuk perasaan malam tadi diadakan di hari ke-3 setiausaha politik kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim itu ditahan polis sejak 16 Julai lepas.

Penunjuk perasaan berkumpul di depan balai polis itu seawal 8 malam tadi sambil membawa plakad “Kami Bersama Anda”.

“Di manakah Farhash,” kata Timbalan Pengerusi PKR Perak, MA Thinakaran kepada pemberita.

Farhash antara 9 yang direman polis setakat ini berhubung kes tersebut, termasuk Haziq Aziz, bekas ketua Pemuda PKR Santubong.

Haziq menggemparkan negara dengan pengakuan beliau terbabit dalam klip video seks sejenis di sebuah hotel di Sandakan, Sabah, bulan lalu.

MA Thinakaran.

Beliau menamakan Azmin sebagai pasangannya dalam video itu, dakwaan yang dinafikan sekeras-kerasnya oleh Azmin, yang menyifatkan ia komplot untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Semalam, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador mengumumkan hasil analisis CyberSecurity Malaysia mengesahkan kebarangkalian video tersebut tulen adalah tinggi, tetapi hasil proses pengecaman wajah adalah negatif.

Media melaporkan 5 orang yang ditahan bersama Haziq dibebaskan semalam, sementara perintah reman Haziq akan tamat esok.