AS tembak jatuh dron Iran di Selat Hormuz
Iran menembak jatuh sebuah dron AS pada Jun selepas mendakwa ia menceroboh ruang udaranya, walaupun dinafikan pentadbiran Trump.
WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) memusnahkan sebuah dron Iran di Selat Hormuz selepas ia didakwa mengancam sebuah kapal perang Amerika, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan Presiden Donald Trump pada Khamis.
Pesawat tanpa pemandu Iran itu ditembak jatuh oleh USS Boxer, sebuah kapal tempur amfibia milik tentera laut AS.
“USS Boxer mengambil tindakan mempertahankan diri terhadap sebuah dron Iran yang menghampirinya dengan begitu laju dalam jarak yang amat dekat iaitu kira-kira 1,000 ela tanpa menghiraukan pelbagai amaran untuk beredar serta mengancam keselamatan kapal tersebut dan krunya,” kata Trump di Rumah Putih.
“Dron itu dimusnahkan serta-merta,” kata beliau.
Trump berkata, “AS berhak mempertahankan kakitangan, fasiliti dan kepentingan kami” serta menggesa negara lain agar “melindungi kapal mereka semasa melewati selat itu dan bekerjasama dengan kami pada masa depan.”
Ketegangan di Selat Hormuz memuncak sejak beberapa bulan kebelakangan ini susulan keputusan Trump mengenakan semula sekatan ke atas eksport minyak mentah Iran yang sebelum ini ditarik balik sebagai sebahagian daripada perjanjian nuklear 2015 antara Tehran dan kuasa besar dunia.
Trump secara unilateral menarik keluar AS daripada perjanjian itu (Pelan Tindakan Komprehensif Bersama atau JCPOA) pada Mei 2018 dan menggesa negara lain mengambil tindakan sama untuk memecahkan pakatan tersebut.
Iran menembak jatuh sebuah dron AS pada Jun selepas mendakwa ia menceroboh ruang udaranya, yang dinafikan pentadbiran Trump.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Insiden itu hampir mencetuskan serangan balas yang didakwa Trump telah dibatalkannya seleps mendapat maklum balas tidak seimbang.