Azmin dan sekutu tak kelihatan di temu rapat pimpinan PKR

Anwar Ibrahim dan Dr Mahathir Mohamad duduk bersebelahan di pentas pembukaan temu rapat pimpinan PKR di Port Dickson malam tadi.

PORT DICKSON: Majlis temu rapat majlis pimpinan pusat PKR malam tadi yang disertai Pengerusi Pakatan Harapan, Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Anwar Ibrahim menyaksikan ketiadaan timbalannya, Azmin Ali dan beberapa pemimpin yang dikaitkan dengannya.

Antara yang tidak dapat dikesan di upacara pembukaan acara di Hotel Lexis Hibiscus malam tadi adalah Naib Presiden Zuraida Kamaruddin, Tian Chua dan Ali Biju, antara mereka yang menandatangani kenyataan mengkritik Anwar kerana menyeru Azmin meletak jawatan jika video seks sejenis yang menyasarkannya terbukti sahih.

Kehadiran Mahathir diraikan oleh Anwar dan bekas presiden, Dr Wan Azizah Ismail, bersama Naib Presiden Xavier Jayakumar dan Ketua Penerangan, Shamsul Iskandar Md Akin.

Majlis 3 hari ini diadakan di sebalik pertelagahan terbuka antara Anwar dan Azmin. Penyokong Azmin mempertahankannya manakala penyokong Anwar mengumumkan penubuhan suatu majlis yang menyokong presiden mereka.