Bekas pegawai Goldman runding rayuan berkait peranan dalam skandal 1MDB

Goldman Sachs memperoleh RM600 juta sebagai bayaran untuk menerbitkan bon 1MDB. (Gambar Reuters)

NEW YORK: Bekas pegawai Goldman Sachs Group Inc Roger Ng masih dalam perundingan bagi mengelakkan perbicaraan di mahkamah Amerika Syarikat atas dakwaan melanggar undang-undang anti-rasuah AS dan bersubahat untuk mengubah wang yang digelapkan daripada dana pelaburan kerajaan, 1MDB.

Dalam satu pembicaraan di Mahkamah Persekutuan di Brooklyn, Khamis, yang menyaksikan kehadiran Ng, pendakwa memberitahu hakim daerah Margo Brodie bahawa rundingan itu kini semakin perlahan berikutan “penemuan sejumlah besar keterangan”. Kira-kira 640,000 dokumen disediakan, kata penolong pendakwa AS Drew Rolle.

Rolle juga merujuk kepada kebimbangan kerajaan tentang bahan sensitif yang boleh dilihat oleh Ng, sementara rakan subahat beliau, Jho Low, yang didakwa mencuri dana terbabit, masih bebas.

Hakim berkata, “penyiasatan itu harus diteruskan” walaupun kes tersebut rumit dan menetapkan 20 Ogos sebagai tarikh pembicaraan seterusnya.

Ng tiba di New York dari Malaysia pada awal Mei dan mengaku tidak bersalah.

Roger Ng.

Pendakwa berkata, rasuah dan suapan diberikan dalam penawaran bon oleh Goldman bagi pihak 1MDB, yang membantu mendapatkan lebih AS$6 bilion untuk dana pelaburan itu. Sejumlah RM600 juta dibayar sebagai fi kepada bank tersebut.

Bekas pegawai kanan Goldman, Tim Leissner mengaku bersalah bersubahat untuk mengubah wang dan melanggar Akta Amalan Rasuah Asing AS (FCPA) dengan membayar suapan kepada pegawai Abu Dhabi dan Malaysia serta memintas kawalan perakaunan dalaman Goldman.

Ng juga didakwa bersubahat untuk melanggar FCPA dan terlibat dalam konspirasi pengubahan wang, yang boleh dijatuhi hukuman penjara berpuluh-puluh tahun jika sabit kesalahan.

Brodie menetapkan tarikh pembicaraan awal pada 11 Mei 2020.