Bolehkah penulis diharamkan dipilih jadi Sasterawan Negara?

Sebanyak 7 buku Faisal Tehrani masih diharamkan atas alasan ia bertemakan aliran Syiah.

KUALA LUMPUR: Seorang novelis dan pengulas sosial yang terkenal tulisan yang dilihat melawan arah mengenai sejarah Melayu dipercayai dipertimbangkan secara serius untuk Sasterawan Negara, gelaran yang mengiktiraf pencapaian sepanjang hayat dalam meningkatkan kesusasteraan Melayu.

Sumber memberitahu FMT beberapa nama yang disenarai pendek oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, badan yang dilihat sebagai pembela bahasa kebangsaan, tidak diterima baik oleh Menteri Pendidikan Maszlee Malik.

Maszlee sepatutnya mengemukakan nama terpilih kepada Agong untuk persetujuan.

Dan satu nama disebut-sebut sebagai semakin menjadi perbincangan dalam kalangan aktivis sastera tempatan.

Dipercayai Faisal Tehrani antara yang dinamakan dalam kalangan berpuluh-puluh nama yang dipertimbangkan DBP ketika kali terakhir ia bermesyuarat bagi menyenarai pendek calon Sasterawan Negara.

Namun sumber memberitahu FMT, dengan 7 buku beliau diharamkan atas alasan yang dikaitkan dengan pihak berkuasa agama Malaysia, jawatankuasa pemilihan tidak akan terlalu berani.

“Memang sumbangan Faisal amat kritikal kepada kesusasteraan Melayu moden, tetapi sebagai badan kerajaan, DBP bertindak lebih ‘selamat’,” kata sumber yang terlibat dalam proses pemilihan sebelum ini bagi anugerah itu.

Pada Mei, FMT melaporkan Faisal adalah antara 5 calon yang disenarai pendek oleh DBP untuk gelaran Sasterawan Negara.

Selain Faisal, 4 yang lain termasuk anak kelahiran Kedah Azmah Nordin, pelukis Latif Mohidin, novelis Sarawak Jong Chian Lai, serta penulis Che Shamsudin Othman yang lebih dikenali sebagai Dinsman.

Difahamkan Maszlee “tidak senang” dengan kebanyakan nama yang dikemukakan kepadanya.

“Menteri itu merasakan nama-nama itu tidak mencerminkan semangat Sasterawan Negara, di mana bukan hanya seseorang yang terlibat dalam pembangunan kesusasteraan tetapi juga seorang yang ambil tahu isu-isu sosial ketika ini,” kata satu sumber.

Daripada 5 nama itu, hanya Faisal dan Dinsman kelihatan lebih dekat untuk memenuhi kriteria tersebut.

Namun, tulisan politik Dinsman boleh menjadi penghalang.

“Apa yang dilakukan Sasterawan Negara selepas mendapat anugerah itu adalah urusannya, tetapi jika dia aktif secara politik, ia boleh mewujudkan suatu duluan yang buruk,” kata sumber itu sambil merujuk kepada A Samad Said, yang dinamakan Sasterawan Negara pada 1986 dan menyertai DAP pada 2015.

Awal bulan ini, Ketua Pengarah DBP Abang Sallehuddin Abang Shokeran memberitahu FMT mesyuarat bagi membincangkan calon Sasterawan Negara akan diadakan minggu ini.

“Kami ada beberapa pencalonan, tetapi kami tidak boleh menyelesaikan proses itu sehingga kami bertemu dengan Maszlee,” katanya, sambil menambah pengumuman akan dibuat sebelum akhir tahun.

Gelaran Sasterawan Negara kali terakhir diumumkan pada 2015 apabila penyair Zurinah Hassan dinamakan sebagai penerima wanita yang pertama.

Sebelum ini, penerima gelaran itu tidak pun memenuhi syarat yang memerlukan seseorang itu tidak “bersifat politikal”. Mereka termasuklah Shahnon Ahmad, yang dinamakan Sasterawan Negara pada 1982.

Shahnon mencetuskan kekecohan pada kemuncak krisis politik selepas pemecatan Anwar Ibrahim pada 1998, apabila beliau menerbitkan novelnya “SHIT”, satu satira ditujukan kepada kerajaan Dr Mahathir Mohamad ketika itu.

Kiriman media sosial Faisal banyak menyentuh isu politik. Tetapi karyanya lebih menjarakkan diri daripada politik, namun mempunyai mesej politik yang kuat, kata sumber.

“Maszlee lebih cenderung kepada orang seperti ini, seseorang yang kritis terhadap masyarakat. Faisal sering menuduh ‘norma’ berbanding mana-mana parti politik tertentu,” kata seorang yang rapat dengan penulis berusia 45 tahun itu.

“Norma” merupakan musuh Faisal – buku-bukunya diharamkan atas alasan itu, kerana bertemakan watak-watak dan terminologi yang dekat dengan Syiah – fahaman yang diharamkan pihak berkuasa Islam Malaysia.

Faisal sudah menerbitkan lebih 20 kertas akademik mengenai sejarah Melayu, serta drama, cerita pendek dan novel, yang memenangi hadiah dan penghargaan.

Sesetengahnya cukup kontroversi sehingga dianggap sebagai ancaman kepada ketenteraman awam oleh kerajaan terdahulu. Kerajaan Pakatan Harapan tidak dilihat bersungguh-sungguh mahu menghapuskan larangan itu mungkin disebabkan tekanan daripada birokrasi Islam.

Faisal mengelak bercakap mengenai spekulasi peluangnya mendapat anugerah Sasterawan.

“Saya malu untuk menjawab soalan anda. Saya tahu orang ramai bertanya kepada saya,” katanya kepada FMT ketika ditemui bulan lalu dalam satu perjumpaan aktivis sastera di Kuala Lumpur.

“Tapi kamu kena fikir, 7 buku saya diharamkan. Semua orang tahu itu. Dan dengan semua perkara mengenai saya di media sosial, saya tidak pasti jika anugerah Sasterawan sesuai dengan saya.”

Ia tidak menghalang karya Faisal daripada menarik ramai peminat, termasuk Maszlee, walaupun menteri itu dilihat rapat dengan mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin, iaitu agamawan yang menentang karya yang menjurus kepada Syiah.

Baru-baru ini, sebuah video ucapan Hari Raya diterbitkan oleh pasukan Maszlee adalah berdasarkan skrip Faisal.

“Namun, adalah sesuatu mencabar bagi Maszlee. Adakah beliau bersedia berdepan birokrat dengan menobatkan anugerah itu kepada penulis yang diharamkan?” kata satu sumber yang dekat dengan Maszlee.