Dapatkan dokumen dari kedutaan sebelum dibenar pulang, imigresen beritahu pendatang

Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud. (Gambar Facebook)

PUTRAJAYA: Pendatang asing tanpa izin (PATI) perlu menyediakan dokumen yang ditetapkan sebelum dibenarkan pulang ke negara asal melalui program Pulang Ke Negara Asal atau “Back For Good (B4G)”, kata Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud.

Beliau berkata pendatang asing berkenaan perlu mendapatkan dokumen pengenalan diri yang lengkap daripada kedutaan besar dan pejabat pesuruhjaya tinggi masing-masing dan menyerahkan kepada imigresen untuk diproses.

Mereka juga perlu menyediakan bayaran kompaun sebanyak RM700 serta menunjukkan tiket penerbangan ke negara asal bagi tujuan tersebut.

“Semua dokumen itu akan diteliti bagi proses kebenaran keluar sebelum diberikan pas khas yang sah laku dalam tempoh 7 hari untuk keluar daripada negara ini,” katanya pada sidang media hari ini.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin mengumumkan program yang bertujuan mengurangkan bilangan PATI itu akan berlangsung bermula 1 Ogos sehingga 31 Disember depan.

Khairul berkata B4G hanya melibatkan PATI di Semenanjung Malaysia dan pendatang asing yang sedang ditahan di depot tidak dibenarkan menyertai inisiatif tersebut.

Bagi menjayakan program itu, imigresen turut mendapat kerjasama polis yang tidak akan menahan mana-mana PATI yang sedang menyertai B4G seperti dalam perjalanan ke kedutaan dan pejabat imigresen bagi melengkapkan dokumen diperlukan.

Khairul berkata selain mengurangkan kebanjiran PATI, program B4G juga bertujuan menjimatkan kos perbelanjaan pengurusan depot serta membendung masalah sosial seperti risiko jangkitan penyakit dan jenayah.

Kita menganggarkan lebih kurang 400,000 PATI akan mengambil peluang untuk pulang secara sukarela melalui program ini, katanya.