Jho Low bidas rampasan wang daripada akaun bapa
Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan kerajaan merampas kira-kira RM48 juta wang yang didepositkan ke dalam akaun bank milik bapa Jho Low, Larry Low Hock Peng.
PETALING JAYA: Ahli perniagaan yang diburu, Low Taek Jho membidas langkah pihak berkuasa Malaysia merampas wang daripada akaun bank yang didakwa berkait dengan dirinya berikutan perintah Mahkamah Tinggi pagi tadi.
Jurucakap Low, atau lebih dikenali sebagai Jho Low berkata, rampasan itu adalah “salah” dan merupakan “natijah yang tidak dapat dielakkan berikutan prosiding tidak sah yang dibawa oleh rejim Mahathir”.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan melalui pasukan undang-undang Jho Low, beliau berkata, “natijahnya telah ditentukan lebih awal dan bermotifkan politik, justeru mengaburkan garis pemisah antara kuasa eksekutif dengan kehakiman.”
“Rampasan ini, sama seperti percubaan terbaru rejim Mahathir untuk merampas rumah keluarga Low berusia 20 tahun, terus menyerlahkan strategi memalukan rejim tersebut untuk terus-menerus mengacau-ganggu, selain bersedia membelakangkan prosedur yang sah.
“Rejim itu terus mendahulukan hukum rimba dalam usahanya meraih apa-apa juga bentuk mata politik,” katanya, dengan menambah bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) gagal menunaikan janjinya dari sudut hak asasi manusia dan pemerintahan mengikut undang-undang.
Terdahulu hari ini, mahkamah di Kuala Lumpur membenarkan kerajaan merampas kira-kira RM48 juta wang yang didepositkan ke dalam akaun bank milik bapa Jho Low, Larry Low Hock Peng.
Ini setelah timbalan pendakwa raya Aaron Chelliah memberitahu mahkamah bahawa tiada pihak ke-3 yang tampil untuk menuntut wang tersebut.
Beliau berkata, peguam Hock Peng boleh memohon untuk mengetepikan perintah merampas wang berkenaan.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Akan tetapi mereka perlu mengemukakan alasan sah kenapa kerajaan tidak boleh merampas wang tersebut. Jika tidak perintah mahkamah kekal,” katanya kepada FMT.