Ketua PKR Johor letak jawatan tiada kaitan Anwar-Azmin, kata ahli majlis

Ahli majlis pimpinan negeri, Syed Ibrahim Syed Noh.

PETALING JAYA: Seorang pemimpin Johor berkata peletakan jawatan Hassan Karim sebagai pengerusi PKR negeri tiada kaitan dengan kemelut antara Presiden Anwar Ibrahim dan timbalannya, Mohamed Azmin Ali.

Ahli majlis pimpinan negeri, Syed Ibrahim Syed Noh berkata dia difahamkan pengunduran Hassan itu atas sebab peribadi.

“Saya boleh katakan peletakan jawatan beliau tiada kena mengena dengan kemelut yang berlaku. Saya difahamkan ia dibuat atas sebab peribadi,” katanya.

Ahli Parlimen Ledang itu berkata Hassan Karim menghantar surat peletakan jawatannya minggu lepas.

“Saya difahamkan dia ada hantar surat letak jawatan minggu lalu, tetapi presiden akan putuskan sama ada terima atau tidak,” katanya.

Syed Noh dihubungi selepas pimpinan utama negeri yang lain enggan mengesahkan laporan mengenai peletakan jawatan Hassan.

“Isu sama ada Hassan ada letak jawatan atau masih pengerusi negeri hanya boleh dijawab presiden yang melantik beliau,” kata Timbalan Pengerusi Jimmy Puah, merujuk kepada Anwar.