Latih pemikiran kritis dengan karya sastera, kata ahli akademik

Novel Hujan Pagi oleh A Samad Said serta Shit, Ranjau Sepanjang Jalan dan Srengenge oleh Shahnon Ahmad adalah antara karya sastera Melayu terkenal dan menarik ramai pembaca.

PETALING JAYA: Pemikiran kritis bukanlah satu anugerah semula jadi. Seseorang insan tidak dllahirkan dengan keupayaan tersebut, sebaliknya ia perlu diasah dan dibina.

Seorang penulis dan ahli akdemik, Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali dengan nama penanya Faisal Tehrani ketika ditemui FMT berkata, seseorang boleh membina pemikiran kritis bermula dengan karya kesusateraan, termasuk sastera Melayu.

“Kesusasteraan adalah segala-galanya tentang pemikiran kritis.

“Ia adalah sebahagian daripada demokrasi. Begitu juga seni, semuanya adalah tentang sikap kritis.

“Ia adalah tentang bagaimana kita meletakkan sesuatu perkara dalam konteksnya yang tepat. Melihat realiti dan mengubahnya menjadi karya seni,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Mulakan dengan membaca karya A Samad Said

Apabila ditanya apakah bahan bacaan yang sesuai untuk mereka yang baru mahu mencuba berfikir secara kritis, Faisal dengan yakin mencadangkan karya Sasterawan Negara A Samad Said, ‘Hujan Pagi’.

Mohd Faizal Musa.

“Buku ini mengisahkan satu era yang menyaksikan media diganggu dan ditapis,” katanya.

Novel Hujan Pagi diterbitkan pada tahun 1987, iaitu 30 tahun selepas Malaysia mendapat kemerdekaan.

Hujan Pagi mengisahkan dan menyorot kekusutan jiwa wartawan pada era sebelum perang. Watak utama novel itu, Lokman, tidak lagi dapat memahami dan menyesuaikan diri dengan perubahan arah serta perkembangan suasana akhbar selepas kemerdekaan.

Perkembangan terbaru dalam akhbarnya, Sinar Pagi, menyebabkan Lokman terperangkap dalam dunia halusinasi sehingga masih lagi melalui zaman sebelum kemerdekaan apabila kedudukannya sebagai seorang nasionalis memberi kesan besar kepada perjuangan.

Shanon Ahmad dan novel pemenang anugerah

Mengulas lanjut, Faisal berkata golongan yang berminat untuk menyelami bacaan sastera Melayu yang lain juga boleh menjinakkan diri dengan novel karya Shanon Ahmad.

“Semua karya Shanon Ahmad,” katanya.

Shanon Ahmad yang dikurniakan anugerah Sasterawan Negara pada 1982 telah menghasilkan lebih 10 novel popular dalam kesusasteraan Melayu.

Beliau juga merupakan seorang profesor di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang. Pada 1979, beliau dilantik sebagai dekan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, USM dan mendapat pengiktirafan profesor penuh pada tahun 1981.

Teo Kok Seong.

Antara novel Shanon yang masih disebut-sebut sehingga kini ialah SHIT, Ranjau Sepanjang Jalan dan Srengenge.

Shanon meninggal dunia pada tahun 2017.

Sementara itu, seorang pakar linguistik dan antrophologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Teo Kok Seong berkata, tidak dinafikan karya sastera Melayu yang baik seperti yang dihasilkan oleh para Sasterawan Negara boleh membantu merangsang pemikiran pembaca.

Jelas Teo, rangsangan itu boleh berlaku dalam 2 bentuk, iaitu membuat analisis dan membuat pendirian terhadap sesuatu yang dibangkitkan dalam karya tersebut.

Katanya, ini kerana wujudnya plot dan unsur lain yang bukan sahaja menarik, tetapi boleh mengembangkan minda para pembaca karya sastera.

“Sesebuah karya (sastera) yang baik boleh mewujudkan reaksi kepada pembaca untuk berfikir,” katanya ketika dihubungi FMT.