Mahkamah Kanada tolak permohonan gantung larangan pakai simbol agama

PM Kanada Justin Trudeau membantah undang-undang baru itu dengan berkata, kerajaan tidak mempunyai kepentingan untuk menggubal undang-undang mengenai pakaian yang harus dipakai oleh rakyat. (Gambar AFP)

TRENTON: Seorang hakim di Quebec, Kanada pada Khamis menolak permohonan sekumpulan penganut Islam dan sebuah pertubuhan kebebasan awam untuk menggantung beberapa seksyen undang-undang sekularisme di wilayah itu yang melarang pemakaian simbol keagamaan seperti hijab, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Hakim Michel Yergeau berkata, adalah sesuatu yang di luar aturan jika mahkamah membuat keputusan bertentangan dengan perintah injunksi yang diluluskan sebuah badan perundangan yang dipilih.

Rang undang-undang 21 yang digubal pada Jun melarang penjawat awam termasuk polis, jururawat, guru dan pemandu bas memakai simbol keagamaan seperti hijab bagi Islam, kippah (Yahudi), serban (Sikh) dan salib (Kristian) semasa berurusan dengan orang ramai.

Majlis Kebangsaan Umat Islam Kanada dan Persatuan Kebebasan Awam Kanada mengemukakan permohonan kepada mahkamah untuk menggantung sementara larangan itu sementara menunggu siasatan lanjut berhubung keperlembagaan undang-undang.

Kedua-dua agensi berhujah bahawa undang-undang itu adalah tidak berperlembagaan dan akan mendatangkan “bahaya yang amat serius” kepada golongan minoriti di Quebec.

Bagaimanapun, Yergeau memutuskan bahawa undang-undang “menuntut agar keputusan dibuat berdasarkan merit” dan bukan atas kepentingan individu.

Perdana Menteri Justin Trudeau secara terus-terang membantah undang-undang baru itu.

“Kami tidak rasa ia adalah tanggungjawab kerajaan atau kerajaan mempunyai sebarang kepentingan untuk menggubal undang-undang tentang apa yang harus dipakai oleh rakyat,” katanya kepada pemberita pada akhir bulan lepas.

Catherine McKenzie, peguam bagi kedua-dua agensi yang membawa perkara itu ke mahkamah berkata, kerajaan “sedang menggubal undang-undang berkaitan amalan agama. Tiada cara lain untuk mengatakannya.”

Keputusan Yergeau bermaksud RUU 21 akan terus berkuat kuasa sehingga permohonan bagi mencabarnya didengar dan diputuskan pada masa akan datang.