NGO gesa iktiraf pelarian Rohingya sejajar penubuhan Qatar Charity

Terdapat kira-kira 160,000 pelarian Rohingya di Malaysia. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Sebuah kumpulan yang membela nasib pelarian Rohingya di Malaysia mengalu-alukan penubuhan pejabat Qatar Charity oleh kerajaan Qatar bagi membantu pelarian etnik terbabit di negara ini, mengatakan ia adalah tindakan yang tepat.

Asean Rohingya Center (ARC) bagaimanapun berkata tabung kebajikan itu tidak memberi penyelesaian yang menyeluruh selagi Malaysia tidak mengiktiraf pelarian Rohingya.

“Walau apapun gerakan kemanusiaan yang dilaksanakan, ia tidak akan memberikan suatu penyelesaian yang tuntas selagi status pelarian mereka masih diawang-awangan.

“Justeru itu ARC menyeru kerajaan Malaysia pendatang tanpa negara ini diberikan status pelarian yang sah agar mereka mendapat perlindungan dalam kerangka undang-undang,” kata Pengarah Eksekutif ARC, Helmi Ibrahim dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam dilaporkan Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin, berkata Qatar akan menubuhkan pejabat Qatar Charity di ibu negara, bulan depan.

“Saya akan bawa maklumat ini kepada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya langkah segera boleh dibuat untuk kita mendapat manfaat daripadanya,” katanya selepas menerima kunjungan hormat Penasihat Keselamatan Kebangsaan kepada Emir Qatar, Mohamed Ahmad, di bangunan Parlimen, semalam.

Qatar Charity di Malaysia yang akan dibiayai oleh Qatar Development Fund yang akan menumpu kepada gerak kerja pendidikan, kesihatan dan latihan kemahiran kepada kira-kira 160,000 pelarian Rohingya di Malaysia.

Helmi berkata pihaknya menyeru kerajaan mengambil langkah pro-aktif dengan menjadi rakan kongsi yang komited dalam menjayakan tabung tersebut.

“Sebagai langkah awal, ARC sanggup menjadi fasilitator kepada kerajaan Qatar dalam mengumpulkan maklumat dan menjalankan kajian serta menyediakan pelan tindakan dalam merealisasikan Qatar Charitu ini,” katanya.