Polis kenal pasti penyerang bunuh diplomat Turki di Iraq

Menteri Luar Turki Mevlut Cavusoglu memberitahu pemberita, 3 lelaki bersenjata menyerang restoran di Erbil, Iraq lalu membunuh seorang diplomat negara itu dan seorang rakyat tempatan. (REUTERS pic)

ISTANBUL: Kerajaan Wilayah Kurdish (KRG) pada Khamis berkata ia mengenal pasti identiti seorang daripada lelaki bersenjata yang melepaskan tembakan di sebuah restoran mewah di bandar Erbil, Iraq sehingga menyebabkan seorang diplomat Turki terbunuh, lapor agensi berita Anadolu.

Polis menyiarkan gambar suspek yang dilahirkan di Diyarbakir, Turki pada 1992 dan meminta penduduk tempatan membantu mereka memberkasnya.

Diplomat terbabit, yang bertugas di konsulat Turki di Erbil, ibu kota KRG, terbunuh dalam serangan itu pada Rabu.

Menteri Luar Turki Mevlut Cavusoglu memberitahu pemberita di Ankara bahawa 3 lelaki bersenjata menyerang restoran tersebut.

Beliau berkata, selain diplomat itu, penyerang turut melepaskan tembakan ke arah 2 rakyat Iraq yang duduk di meja sebelah, menyebabkan seorang terbunuh manakala seorang lagi cedera parah.

Tiada pihak mengaku bertanggungjawab melakukan serangan itu.

Cavusoglu berkata, Turki berhubung dengan Baghdad dan Erbil berkaitan insiden itu dan usaha sedang diteruskan untuk memberkas penyerang serta mengetahui motif di sebalik serangan tersebut.