Rakyat Singapura fail saman kerana sabitan salah, layanan tidak berperikemanusiaan

Rakyat Singapura Wong Chun Khuen mahu mahkamah membatalkan denda RM30,000 atau hukuman penjara 6 bulan yang dikenakan ke atasnya oleh Mahkamah Sesyen. (Gambar AFP)

KUALA LUMPUR: Seorang rakyat Singapura, yang didakwa melanggar undang-undang imigresen Malaysia, memfailkan satu usul jenayah di Mahkamah Tinggi di sini bagi mengetepikan sabitan beliau.

Wong Chun Khuen juga mahu mahkamah membatalkan denda RM30,000 atau hukuman penjara 6 bulan yang dikenakan ke atasnya oleh Mahkamah Sesyen.

Dalam usul yang difailkan melalui firma guaman Arun Kasi & Co pada Selasa, Wong berkata, beliau dinafikan akses kepada nasihat perundangan dan ia bercanggah dengan Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, beliau dihukum atas kesalahan yang tidak ditetapkan di bawah undang-undang dan ia bercanggah dengan Perkara 7 perlembagaan yang sama.

Wong, yang menamakan timbalan pendakwa raya sebagai responden berkata, beliau dinafikan hak perlindungan kebebasan asasi yang saksama yang ditawarkan di bawah undang-undang tertinggi Malaysia.

Pengurusan kes di Mahkamah Tinggi ditetapkan pada 6 Ogos depan.

Dalam afidavit bagi menyokong usul berkenaan, Wong berkata, beliau ditahan di Nusa Jaya, Johor pada 28 Feb tahun lepas kerana disyaki melindungi 6 orang pendatang tanpa izin di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen.

Pekerja gereja di Singapura itu, yang memiliki sebuah rumah di bawah “Program Malaysia Rumah Keduaku berkata, beliau membenarkan banglo miliknya digunakan untuk tujuan kebajikan, iaitu sebagai tempat penginapan golongan yang memerlukan dan orang tua.

Katanya, beliau tidak tinggal di situ, tetapi datang melawat tempat tersebut sekali-sekala.

Wong berkata, pada 28 Feb, apabila beliau pergi ke rumah itu untuk melakukan sedikit kerja pembaikan, pegawai imigresen menyerbu premis berkenaan pada kira-kira pukul 11 pagi dan menahan dirinya.

“Mereka mensyaki saya merupakan penghuni rumah tersebut dan membenarkan pendatang tanpa izin memasuki dan tinggal di premis itu” katanya dalam afidavit yang dilihat oleh FMT.

Wong berkata, selepas itu isteri beliau melantik seorang peguam, tetapi beliau tidak dapat bercakap dengan bebas dengannya kerana warden di pusat imigresen Pekan Nenas memantau mereka.

Semasa ditahan, beliau mendakwa mengalami layanan yang kejam, tidak berperikemanusiaa dan menghina seperti tercatat dalam afidavitnya.

Pada 26 Mac, iaitu selepas 26 hari ditahan, beliau dibawa ke hadapan hakim Mahkamah Sesyen di mana beliau mengaku salah atas pertuduhan yang dibuat kerana beliau tidak mahu berdepan risiko ditahan lagi.

Beliau didenda RM30,000. Wong membayar denda tersebut.

Pada 28 Mei, seorang lagi rakyat Singapura juga menyaman Jabatan Imigresen dan menuntut pampasan berjumlah RM2.67 juta kerana ditahan secara salah dan dilayan tanpa perikemanusiaan semasa ditahan selama 37 hari pada Oktober tahun lepas.

Puis Gilbert Louis, 68, mendakwa layanan dan hukuman yang diterima semasa ditahan adalah merupakan “siksaan dan kejam, tidak berperikemanusiaan dan menghina”.

Dalam pernyataan tuntutan yang difailkan pada 28 Mei, beliau berkata, jabatan tersebut melanggar konvensyen antarabangsa dan Perkara 5 dan 7(1) Perlembagaan.