Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

Peningkatan ringgit pagi ini juga didorong oleh kenaikan harga minyak global.

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS didorong sentimen positif menyokong pasaran, kata seorang peniaga.

Pada 9.03 pagi, ringgit disebut harga pada 4.1090/1120 berbanding dolar AS daripada 4.1130/1150 semasa urus niaga ditutup pada Khamis.

Beliau berkata, dolar AS jatuh semula pagi ini memandangkan tumpuan kekal pada konflik perdagangan dan kemungkinan pengurangan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat.

“Laporan Sektor Luaran Tabung Kewangan Antarabangsa yang dikeluarkan semalam menyatakan dolar US telah terlebih nilai sebanyak 6% kepada 12 peratus, berdasarkan asas ekonomi jangka pendek, yang mengakibatkan dolar kembali menyusut,” katanya.

Peniaga itu berkata, peningkatan ringgit juga didorong oleh kenaikan harga minyak global.

Pagi ini, penanda aras niaga hadapan minyak mentah Brent meningkat 1.32% kepada AS$62.75 setong.

Bagaimanapun, mata wang tempatan didagangkan lebih rendah berbanding mata wang utama.

Ia susut sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.0273/0307 daripada 3.0234/0253 semasa ditutup pada Khams dan jatuh berbanding yen kepada 3.8216/8255 daripada 3.8161/8187.

Mata wang tempatan menyusut berbanding pound Britain kepada 5.1556/1601 daripada 5.1269/1310 dan turun berbanding euro kepada 4.6263/6313 daripada 4.6189/6228.