SPRM digesa buru peguam jual tanah di Sabah kepada Risda

SPRM digesa memburu Michael Persius Ubu bagi membantu siasatan penjualan tanah bernilai RM155 juta kepada Risda.

KOTA KINABALU: Parti yang berpangkalan di Sabah menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan peguam Michael Persius Ubu bagi membantu siasatan berhubung penjualan tanah bernilai RM155 juta kepada Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).

Naib Presiden Angkatan Perpaduan Sabah Paul Kadau berkata setakat yang beliau tahu, kes itu belum ditutup.

“Orang Sabah tidak sabar melihat keputusan akhir siasatan terhadap mereka yang cuba menjual tanah itu, yang berstatus tanah orang asal,” katanya kepada FMT.

Kes itu melibatkan penjualan 2 bidang tanah di Tongod kepada Risda pada 2014. Urusan jual beli itu gagal walaupun bayaran pendahuluan telah dibayar oleh Risda, didakwa melalui firma guaman milik Ubu.

Ubu, 62, gagal hadir di pejabat SPRM walaupun dipanggil bersama Naib Presiden Warisan Peter Anthony tahun lalu.

Anthony, yang kini menteri pembangunan infrastruktur Sabah, direman selama 3 hari sebelum dibebaskan dengan jaminan.

Kadau berkata beliau tidak bermaksud menuduh kedua-dua individu itu melakukan sebarang kesalahan. Bagaimanapun, beliau mempertahankan bahawa SPRM perlu menyelesaikan siasatannya, bukan membiarkan sahaja kes itu.

Naib Presiden Angkatan Perpaduan, Paul Kadau.

Beliau berkata ia adalah kes berprofil tinggi kerana ia juga membabitkan Ketua Menteri Shafie Apdal, yang merupakan menteri pembangunan luar bandar dan wilayah pada masa itu.

“Tidakkah Shafie ingin membersihkan namanya, setelah selesai dengan kes berhubung dakwaan penyelewengan dana pembangunan infrastruktur luar bandar di Sabah yang melibatkan RM1.5 bilion?” soalnya.

Beliau menambah SPRM harus menunjukkan usaha yang sama seperti dalam usaha memburu ahli perniagaan Low Taek Jho berhubung siasatan pengubahan wang haram melibatkan 1MDB.