Upah semula pendatang tanpa dokumen, bukan bawa masuk pekerja baru, kata Santiago

Dasar menyeluruh mengenai migrasi pekerja perlu digubal sebagai sebahagian daripada langkah penyelesaian jangka panjang.

PETALING JAYA: Seorang ahli Parlimen DAP mencadangkan supaya kerajaan mengesahkan dan membenarkan pendatang tanpa dokumen diambil bekerja, bukannya melaksanakan program pengampunan yang akan menyaksikan mereka dihantar pulang ke negara asal.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, langkah ini lebih munasabah daripada membawa masuk pekerja asing bagi memenuhi keperluan tenaga buruh yang hanya akan menguntungkan orang tengah dalam proses pengambilan pekerja berkenaan.

Program “Hantar Pulang Kekal” akan membolehkan pendatang asing tanpa dokumen meninggalkan negara ini tanpa risiko ditangkap, walaupun mereka dikehendaki membayar kompaun sebanyak RM700, selain memiliki dokumen perjalanan sah dan tiket untuk pulang ke negara asal.

Santiago mempersoalkan bagaimanakah pendatang terbabit mahu mencari wang untuk membayar kompaun dan membiayai kos perjalanan.

Beliau juga mempersoalkan logik mengantar pulang pekerja tersebut hanya untuk membawa masuk pekerja asing yang lain.

“Kita perlukan pekerja, justeru kita harus mencari jalan untuk membenarkan mereka yang telah pun berada di sini terus bekerja,” katanya kepada FMT.

Beliau mencadangkan moratorium selama 3 bulan ke atas pengambilan pekerja asing bagi membolehkan pekerja asing sedia ada di sini didaftarkan dan diberi masa untuk mencari pekerjaan baru.

Pengarah eksekutif Tenaganita Glorence Das berkata, dasar menyeluruh mengenai migrasi pekerja perlu digubal sebagai sebahagian daripada langkah penyelesaian jangka panjang.

Katanya, tanpa dasar sedemikian dan mekanisme pemantauan yang berkesan, amalan rasuah yang tertanam dalam proses pengambilan, penempatan dan penggajian pekerja asing akan menyaksikan ketibaan lebih banyak pendatang tanpa dokumen.

Beliau juga bercakap tentang pendatang asing tanpa dokumen yang tidak sedar tentang status mereka dari sudut undang-undang seperti mangsa sindiket penyeludupan orang serta ejen tidak bertanggungjawab, dan beberapa kes terpencil melibatkan pembantu rumah.

“Program pengambilan pekerja sebelum ini yang dilaksanakan pada 2016 tidak telus kerana ia melibatkan broker dan sub-ejen dalam proses pemutihan menyebabkan ribuan pendatang asing gagal didokumenkan.

“Bagaimanakah mereka boleh mendapatkan bantuan untuk program pengampunan itu? Kita harus mengatasi punca masalah kegagalan program pengambilan tersebut dan kesannya ke atas pekerja,” katanya.

Program pengambilan semula pekerja yang dihentikan tahun lepas bertujuan menyediakan permit kerja kepada pekerja asing haram bagi memenuhi keperluan tenaga kerja di sektor tertentu.

Ahmed Adeanjo, jurucakap Pertubuhan Diaspora Nigeria di Malaysia mengalu-alukan inisiatif tersebut, tetapi menyuarakan kebimbangan tentang kompaun RM700 yang dikenakan.

“RM700 itu banyak, terutama sekali bagi pendatang tanpa dokumen,” katanya. “Kerajaan harus sedar bahawa kebanyakan mereka menjalani kehidupan yang sukar.

“Mereka tidak boleh bekerja secara sah tanpa dokumentasi, jadi di mana mereka hendak cari RM700? Ramai daripada mereka belum tentu ada makanan selepas ini.”

Katanya, kadar kompaun lebih munasabah ialah antara AS$50 ke AS$75 (RM205 ke RM308).

“Jika kadarnya tidak terlalu tinggi, maka dalam kes kami, warga Nigeria yang lebih berada boleh membantu dan membayar kompaun untuk seorang atau 2 orang yang lain,” katanya.