Azmin terus tidak hadir hari ke-2 temu rapat PKR

Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

PORT DICKSON: Pemimpin nombor 2 PKR Mohamed Azmin Ali tidak hadir untuk menyampaikan ucapan pada temu rapat parti itu di sini malam ini menyebabkan Presiden PKR Anwar Ibrahim mengisi kekosongan tersebut.

Azmin dijadualkan memberi ucapan selama 15 minit berhubung sumbangan kepimpinan parti pada pertemuan itu.

Ini merupakan ketidakhadiran Azmin selama 2 hari berturut-turut.

Semalam beliau juga tidak hadir semasa ucapan perasmian oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Pemimpin PKR lain yang juga tidak hadir untuk menyampaikan ucapan masing-masing ialah naib presiden Zuraida Kamaruddin dan Ali Biju.

Naib presiden PKR yang lain, iaitu Xavier Jayakumar, Rafizi Ramli dan Chang Lih Kang dilihat hadir.

Terdahulu Zuraida berkata, beliau tidak memboikot pertemuan tersebut, tetapi berikutan tugas rasmi yang perlu dijalankan di Indonesia.

Anwar sebelum ini berkata, parti itu menerima baik kenyataan polis bahawa Azmin tidak terlibat dalam klip video seks sejenis yang tular sebelum ini.

Beliau seterusnya mengegaskan pendirian PKR menolak keras politik jijik.

Beliau sebelum itu berkata, sekiranya penyiasatan mendapati Azmin terlibat dalam klip video seks tersebut, maka menteri hal ehwal ekonomi itu perlu meletakkan jawatan. Kenyataan tersebut mendapat komen balas keras daripada Azmin.