Britain mahu cari penyelesaian diplomatik insiden Iran rampas kapal minyak

Setiausaha Luar Britain Jeremy Hunt berkata, negara itu mahu menggunakan kaedah diplomatik untuk selesaikan isu rampasan kapal minyak oleh Iran. (Gambar Reuters)

LONDON: Setiausaha Luar Britain Jeremy Hunt memberi amaran pada lewat Jumaat bahawa akibat buruk akan berlaku jika tindakan Iran merampas kapal tangki minyak milik negara itu tidak diselesaikan secepat mungkin, lapor agensi berita China Xinhua.

Kor Pengawal Revolusi Islam Iran pada Jumaat merampas kapal tangki minyak Stena Impero di Selat Hormuz selepas mendakwa “ia gagal menghormati peraturan maritim antarabangsa ketika melewati kawasan itu.”

“Kami tidak melihat kepada pilihan ketenteraan, kami melihat kepada kaedah diplomatik untuk menyelesaikan situasi ini, namun kami amat jelas bahawa ia perlu diselesaikan,” kata Hunt dalam satu bual dengan Sky News.

Hunt menuntut agar Stena Impero, yang dalam perjalanan ke Arab Saudi, dilepaskan.

Awal bulan ini, Marin Diraja Britain merampas sebuah kapal Iran di Selat Gibraltar, yang didakwa menuju ke Syria “dan melanggar sekatan EU.”

Iran mengancam untuk bertindak balas jika London tidak melepaskan kapal tangki minyaknya itu, yang masih dalam tahanan Britain.