Dr M: Kaedah pemilihan satu ahli satu undi dilaksana di peringkat cawangan, bahagian PPBM

Mesyuarat Agung Khas PPBM hari ini juga bersetuju meminda perlembagaan bagi membolehkan pemiliah parti ditunda sehingga 18 bulan.

SERDANG: Kaedah pemilihan langsung satu ahli satu undi hanya akan dilaksanakan di peringkat bahagian dan cawangan parti, kata Pengerusi PPBM, Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, cadangan yang dibawa oleh ahli PPBM sukar dilaksanakan secara praktikal di peringkat Majlis Tertinggi atau pimpinan tertinggi parti.

“Mereka ada soal tentang pemilihan dan memberi pendapat mengenai sistem satu ahli satu undi,” katanya selepas mempengerusi Mesyuarat Agung Khas PPBM di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mahathir berkata, mesyuarat agung khas hari ini bertujuan untuk meminda perlembagaan dan kebanyakan ahli bersetuju dengan pindaan yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan, melainkan cadangan berhubung ahli bersekutu dalam kalangan bukan Bumiputera.

“Mereka setuju untuk menerima ahli bersekutu dalam kalangan bukan Bumiputera, tetapi tidak bersetuju mereka (ahli bukan Bumiputera) dilantik kejawatankuasa tertentu.

“Itu pendirian mereka. Oleh kerana nampak (itu) pendapat majoriti, kita terima, iaitu kita tidak ada ahli jawatankuasa yang akan dipilih dengan penyertaaan ahli bersekutu bukan Bumiputera,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berharap pemilihan parti PPBM akan dilaksanakan tahun ini walaupun beliau tidak menetapkan tarikhnya.

Sementara itu, Timbalan Presiden PPBM, Mukhriz Mahathir berkata, kaedah pemilihan satu ahli satu undi sukar dilaksanakan di peringkat kepimpinan tertinggi dan bahagian yang mesti diadakan serentak pada tarikh yang sama.

“Semua ahli mesti hadir dan jika semua ahli terlibat, maka siapa yang akan mengurusnya?,” kata beliau

Mukhriz berkata, mesyuarat hari ini juga bersetuju untuk membolehkan pemilihan parti ditunda sehingga 18 bulan dari tarikh yang sepatutnya ia diadakan.

“Sama ada bulan lain, itu perkara lain. Majlis Tertinggi boleh memutuskan sama ada ia ditangguhkan selama 3 atau 6 bulan.

“Terdapat beberapa perkara yang perlu diselesaikan sebelum pemilihan itu boleh dibuat, termasuk isu ‘pembersihan’ senarai keahlian PPBM.

“Saya akan melaporkan kepada Majlis Tertinggi berapa banyak masa yang diperlukan (untuk isu berkaitan diselesaikan). Sekalipun tahun depan, ia tidak sepatutnya di luar bulan Jun,” katanya.

Mukhriz berkata, 80 pindaan diluluskan hari ini yang bertujuan memperkukuh perlembagaan parti itu.