Guan Eng selar NUJ tak tegas terhadap akhbar Cina terima wang 1MDB

Lim Guan Eng memdakwa sumbangan 1MDB mempengaruhi organisasi berita tertentu dalam liputan terhadapnya sebagai ketua menteri Pulau Pinang sebelum ini.

GEORGE TOWN: Menteri Kewangan Lim Guan Eng mendakwa Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJ) tidak mengambil pendirian tegas terhadap kumpulan pemberita yang menerima wang daripada badan berkaitan 1MDB pada pilihan raya 2013.

Beliau berkata kesatuan itu tidak berpendirian “tegas dan berprinsip” terhadap kumpulan tersebut kerana ia boleh menjejaskan keadilan dan ketelusan dalam pelaporan.

Baru-baru ini, NUJ berkata kumpulan pemberita bebas menerima sumbangan daripada sesiapa sahaja tetapi harus memastikan pemberi sumbangan tidak meminta habuan sebagai balasan.

Katanya, ini susulan dakwaan Lim bahawa 3 kumpulan akhbar Cina di Pulau Pinang menerima sumbangan daripada Kelab Kebajikan 1Malaysia Pulau Pinang sebanyak RM150,000 sebelum pilihan raya pada 2013.

Lim mendakwa sumbangan itu mempengaruhi organisasi berita tertentu dalam liputan terhadapnya sebagai ketua menteri Pulau Pinang.

Salah satu kumpulan mengaku menerima RM50,000 dan merancang untuk mengembalikannya kepada kerajaan, sementara 2 kumpulan lagi masih berdiam diri.

Semalam, Lim menyelar NUJ kerana tidak mengkritik kumpulan itu, mengatakan sumbangan itu akan “membahayakan” terhadap pelaporan mereka dan keupayaan melapor tanpa rasa takut atau berpihak.

“Wartawan akan mendapat penghormatan daripada masyarakat jika mereka jujur, profesional dan neutral dalam pelaporan mereka dan bebas dari pengaruh luar, terutama pertimbangan kewangan.

“Tetapi NUJ berpendapat tidak salah bagi ahli mereka mengambil wang 1MDB. Bagi NUJ untuk meneruskan budaya dan pemikiran rejim terdahulu, ia hanya merugikan kewartawanan dan kebebasan akhbar secara besar-besaran,” katanya kepada FMT.

Lim berkata beliau terus menerima liputan tidak adil dalam beberapa akhbar Cina “tetapi, mujurlah, pembaca tidak cepat membuat pertimbangan berdasarkan laporan”.

Beliau berkata ini membuktikan dakwaan beberapa pihak dalam Umno dan PAS bahawa beliau menguasai media Cina tidak benar.

NUJ, yang mempunyai kira-kira 1,300 ahli yang terdiri daripada wartawan dan jurugambar dari media cetak, enggan mengulas lanjut.