KM ketuai delegasi Pulau Pinang ke Tokyo pelajari operasi kereta api metro

Peta sistem kereta api metro Tokyo.

GEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow akan mengetuai delegasi negeri ke Tokyo, Jepun, untuk mengetahui mengenai penubuhan dan operasi kereta api metro dari 20 hingga 24 Julai ini.

Chow akan diiringi isteri Tan Lean Kee, pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir negeri Zairil Khir Johari, pengarah Jabatan Kerja Raya negeri Shahabuddin Mohd Muhayidin dan wakil Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (BPEN).

Menurut kenyataan pengarah Bahagian Komunikasi Kerajaan negeri dan setiausaha akhbar kepada ketua menteri, Yap Lee Ying, tumpuan lawatan itu adalah bagi perwakilan untuk memperoleh pengalaman secara langsung mengenai keperluan menubuhkan dan mengendalikan kereta api metro serta mendapatkan pemahaman lebih baik mengenai pembentukan bandar pintar.

“Tumpuan juga akan difokuskan kepada penggunaan sumber kuasa alternatif oleh kerajaan Jepun selepas insiden nuklear Fukushima pada Mac 2011 yang penting bagi Pulau Pinang kerana kerajaan negeri sedang meniti ke arah pertumbuhan yang mampan dan penggunaan teknologi hijau,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau menambah, antara pemain utama Jepun yang dijadual akan berkongsi pengetahuan mereka dengan ketua menteri dan delegasinya, termasuk pelbagai pengendali kereta api metro, penyedia teknologi kereta api, pemaju bandar pintar, entiti pendanaan dan pihak berkuasa yang terlibat dalam pembangunan infrastruktur.

Beliau berkata, menurut ketua menteri, Pulau Pinang hanya dapat meningkatkan ekonomi, alam sekitar dan mampan dengan belajar daripada pakar, melihat jauh ke hadapan dan membuat keputusan yang berani untuk generasi masa depan.

Rabu lepas, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dalam kenyataan berkata, projek pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT) Komtar-Bayan Lepas, yang merupakan sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang dicadang dilaksanakan oleh kerajaan negeri, mendapat kelulusan bersyarat daripada Kementerian Pengangkutan.

Loke berkata, selepas kajian terperinci permohonan oleh BPEN untuk membangunkan projek LRT Komtar-Bayan Lepas, kelulusan diberikan kepada kerajaan negeri pada Selasa, tertakluk kepada 30 syarat tertentu.

Beliau berkata, syarat itu termasuk kelulusan Laporan Terperinci Kesan Alam Sekitar (DEIA), serta penilaian trafik, sosial dan warisan.

Kerajaan negeri kini harus mempamerkan dokumen mengenai projek itu selama 3 bulan, dan kelulusan akhir akan diberi selepas maklum balas orang ramai dinilai, kata Loke.