KPN: 2 lagi ditahan berhubung video seks gay

Abdul Hamid Bador (kanan) ketika sidang media selepas merasmikan perkhemahan kor kadet polis peringkat kebangsaan di Kuala Kubu Bharu, hari ini.

HULU SELANGOR: Dua individu terbaru ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung video seks sejenis membabitkan Haziq Aziz dan seorang individu dikatakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata, penahanan 2 individu tersebut menjadikan jumlah individu yang ditahan setakat ini ialah 11 orang, termasuk Haziq dan seorang pemimpin PKR negeri.

“Ya, 2 lagi ditahan di Shah Alam. Saya juga difahamkan ada yang reman habis hari ini atau esok. Ada yang kita merasakan perlu masa yang lebih untuk dapatkan tahanan reman.

“Cerita ini rumit. Kita tidak mahu tersilap dalam mengambil tindakan kita,” katanya dalam sidang media, selepas hadir merasmikan perkhemahan kor kadet polis peringkat kebangsaan di Kuala Kubu Bharu, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed mendedahkan 3 individu ditahan polis di Johor Bharu, selepas 6 individu turut ditahan sebelum ini.

Huzir berkata, salah seorang daripada 3 yang ditahan itu merupakan ahli politik yang mengetuai parti di sebuah negeri.

Haziq mengaku merupakan individu dalam video tersebut manakala Azmin menafikan dirinya terlibat dan mendakwa ia adalah komplot untuk memusnahkan karier politiknya.

Sebelum ini, Hamid berkata, hasil siasatan polis terhadap kes video seks itu mendapati wujud pakatan jahat didalangi seorang pemimpin sebuah parti politik bertujuan mengaib dan menjatuhkan reputasi individu tertentu.

Hamid turut berkata, hasil analisis CyberSecurity Malaysia (CyberSecurity) terhadap video seks berkenaan mendapati kebarangkalian video itu tulen adalah tinggi, bagaimanapun, hasil proses pengecaman wajah (facial recognition) adalah negatif dan tidak dapat mengaitkan pelaku dalam video itu dengan individu yang dimaksudkan.