Ku Li banyak pengalaman tentang perpecahan parti, Dr M jawab komen perpecahan PH

Pengerusi PPBM Dr Mahathir Mohamad.

SERDANG: Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad hari ini membalas komen pemimpin veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah berhubung “kemusnahan” Pakatan Harapan (PH) dari dalam.

“Dia ada banyak pengalaman (berhubung perpecahan parti) dengan Semangat 46, jadi dia tahu semua tentang itu,” katanya.

Sebelum ini Tengku Razaleigh berkata, pergeseran antara Presiden PKR Anwar Ibrahim dan timbalannya Mohamed Azmin Ali boleh menyebabkan PH berpecah.

Razaleigh menubuhkan Semangat 46 pada 1988 selepas berlakunya perpecahan dalaman Umno berikutan kekalahan tipisnya dalam perebutan jawatan presiden yang dimenangi Mahathir ketika itu.

Semangat 46 yang turut disokong Rais Yatim, Ibrahim Ali, sebahagian daripada “Team B” Umno pimpinan Razaleigh, kemudiannya menjalin kerjasama dengan PAS dan beberapa parti kecil lain sehingga membawa kepada kejayaan PAS menjatuhkan pemerintahan Umno di Kelantan pada pilihan raya umum 1990.

Parti itu bagaimanapun dibubarkan pada 1996 selepas Razaleigh menyertai semula Umno.

Dalam pada itu, Mahathir berkata, beliau akan berpegang pada janjinya berhubung peralihan kuasa kepimpinan kerajaan.

“Saya yang berjanji akan tunaikannya. Apa sahaja dikatakan orang lain, itu hanya pendapat mereka bukan saya,” katanya.

Pada 17 Julai, penulis buku “Anwar PM ke-8”, Shahbudin Husin berkata, tindakan segelintir pihak yang memaksa Mahathir terus berkhidmat sehingga habis penggal seolah-olah “mendera” pemimpin berusia 94 tahun itu.

Shahbudin berpandangan tempoh yang sesuai bagi melakukan peralihan kuasa ialah selepas 2 tahun, dan pada ketika itu, Mahathir sudah berusia 95 tahun.

Mengikut perjanjian yang dipersetujui dalam kalangan pemimpin PH, Mahathir akan menyerahkan kuasa kepada Anwar.

Tidak ada tempoh masa ditetapkan untuk tujuan itu, justeru sesetengah pihak menggesa Mahathir menetapkan tarikh peralihan kuasa tersebut.

Dalam pada itu, Mahathir turut menafikan desas-desus yang mengatakan akan berlakunya rombakan Kabinet dalam masa terdekat.