Ku Li: Dr M perlu pimpin kerajaan sampai tamat penggal

Tengku Razaleigh Hamzah.

PETALING JAYA: Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad perlu memimpin negara sehingga tamat penggal bagi memenuhi janji yang dibuat Pakatah Harapan (PH) dalam pilihan raya umum lepas, kata Tengku Razaleigh Hamzah, lapor Bernama.

Ahli Parlimen Gua Musang itu dilaporkan berkata hari ini, peralihan kuasa yang dibuat secara tergesa-gesa atau terlalu awal boleh memberi kesan buruk kepada negara dan juga rakyat.

“Kita juga lihat dalam keadaan hari ini, tidak mungkin perdana menteri menyerahkan kuasa kepada penggantinya dalam masa terdekat kerana banyak janji masih tidak ditunaikan,” katanya menurut laporan itu lagi.

Rakyat kecewa banyak janji manifesto pilihan raya PH masih tidak ditunaikan, katanya ketika merasmikan mesyuarat perwakilan Umno bahagian Gua Musang di Bukit Chekati.

Tengku Razaleigh juga berkata, Mahathir perlu mengkaji keadaan dengan teliti dan membuat keputusan bijak bagi memelihara kepimpinan beliau.