Lokman dakwa KPN lindung individu dalam video seks, mahu ambil tindakan undang-undang

Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman menunjukkan laporan pakar forensik Indonesia berkenaan klip video seks sejenis yang tular sebelum ini. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Lokman Noor Adam berkata, beliau kini sedang berunding dengan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Ketua Polis Negara (KPN) Abdul Hamid Bador ekoran kenyataannya berhubung isu video seks sejenis melibatkan Haziq Aziz dengan individu didakwa seorang menteri Kabinet.

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu mendakwa, Hamid cuba melindungi menteri terbabit berikutan kejayaannya mendapatkan bukti daripada pakar forensik di Indonesia yang mengesahkan kesahihan klip video tersebut dan identiti 2 individu di dalamnya.

“Saya berbincang dengan peguam. Kita akan ambil tindakan undang-undang terhadap Abdul Hamid. Kita yakin KPN melindungi menteri Kabinet berkenaan. Dia tidak lindungi Haziq yang sudah buat pengakuan.

“Ini merupakan kesalahan dan boleh didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 377A dan 377B Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu rakaman video di Facebook hari ini.

“Saya juga akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang baru ditubuhkan kerajaan. Mereka (IPCMC) boleh lakukan siasatan ke atas KPN kerana melindungi penjenayah,” katanya.

Terdahulu, Hamid berkata, hasil siasatan polis ke atas kes video seks itu mendapati wujud “pakatan jahat” didalangi pemimpin politik tertentu bertujuan mengaib dan menjatuhkan reputasi individu tertentu.

Hamid berkata, hasil analisis oleh CyberSecurity Malaysia mendapati kebarangkalian video itu tulen adalah tinggi, tetapi pengecaman wajah analisis yang sama tidak dapat mengaitkan pelaku dalam video itu dengan individu dimaksudkan.

Lokman berkata, laporan setebal 18 halaman oleh pakar forensik dari Indonesia menunjukkan rakaman video yang tersebar sebelum ini adalah sahih, bahkan tidak ada sebarang bukti menunjukkan video itu dimanipulasi atau diubah suai.

Beliau bagaimanapun enggan memberitahu nama syarikat yang menjalankan analisis tersebut, maupun mendedahkan laporan berkenaan kepada umum.

Sebaliknya kata beliau, laporan itu akan terus diserahkan kepada Hamid dan Ketua Pembangkang, Ismail Sabri Yaakob.

Jelasnya, selain rakaman video seks sejenis itu, beliau turut memberikan 20 keping gambar dan 12 rakaman video ucapan salah seorang menteri Kabinet yang diambilnya dari media sosial kepada syarikat berkenaan untuk tujuan analisis.

Pada 12 Jun, bekas ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Aziz menggemparkan negara dengan membuat pengakuan bahawa beliau merupakan salah seorang individu dalam klip video seks sejenis yang dikatakan dirakam di sebuah hotel di Sandakan, Sabah.

Haziq ditahan pada 14 Jun dan disiasat atas 4 kesalahan, termasuk melakukan hubungan seks di luar tabii dan mengedar bahan lucah.

Setakat ini, polis menahan 11 individu kerana menyebarkan klip video tersebut termasuk Haziq dan pemimpin PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, yang juga merupakan setiausaha politik Presiden PKR, Anwar Ibrahim.