Mujahid: Gagasan Rahmatan Lil Alamin akan dibentang kepada Kabinet segera

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof berkata, dasar baru pentadbiran Islam di bawah kerajaan PH bertujuan mewujudkan sebuah negara ‘rahmah’.

MELAKA: Kertas cadangan mengenai gagasan Rahmatan Lil Alamin yang akan menjadi dasar baru pentadbiran Islam di negara ini akan dibawa ke mesyuarat Kabinet dalam masa terdekat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof berkata, kertas cadangan itu kini berada di peringkat akhir dan menunggu masa untuk dibentangkan kepada jemaah menteri.

“Perjalanan bagi membawa konsep Rahmatan Lil Alamin dengan sendi Maqasid Syariah bukan hanya ‘cakap-cakap kosong,’ namun ia bakal dijadikan dasar rasmi pentadbiran Islam di negara ini dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas membentangkan kertas kerja bertajuk “Gagasan Rahmah dalam Malaysia Baharu” pada Konvensyen Nunji (Himpunan Ilmuwan Kebangkitan Baharu) 2019 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini, hari ini.

Mujahid sebelum ini dilapor menjelaskan bahawa gagasan “rahmatan lil alamin” adalah satu pendekatan besar yang dibawa oleh kerajaan ke arah mewujudkan sebuah negara “rahmah”.

Kertas cadangan itu sudah mendapat kelulusan mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) pada 14 Mac lalu yang dipengerusikan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Mengulas mengenai Konvensyen Nunji 2019, Mujahid berkata, himpunan yang diasaskan sejak 4 tahun lalu merupakan platform yang bertujuan menyegarkan semula pemikiran umat Islam agar tidak menjadi terlalu jumud (kaku) atau terlalu keras.

Nunji katanya, membawa keluar pemikiran sempit kepada pemikiran Islam yang sebenarnya dalam konteks yang relevan dengan pemahaman “nas” (ayat atau petikan Al-Quran) yang lebih berpijak kepada realiti tanpa menghalang atau bertentangan dengan prinsip agama.

“Nunji berperanan sebagai ‘input’ dalam membentuk masyarakat hari ini dengan menggunakan naratif Islam berkonsepkan Rahmatan Lil Alamin dan Maqasid Syariah yang dibawakan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Konvensyen sehari itu turut menampilkan tokoh besar bagi menerangkan kepada orang ramai tentang konsep Maqasid Syariah yang tidak seharusnya hanya dibincangkan di bilik kuliah universiti.

“Maqasid Syariah perlu dirakyatkan agar orang ramai memahami bahawa membuat sesuatu untuk pembangunan negara, membuat sesuatu untuk kesejahteraan negara dan juga kedamaian negara merupakan syariat yang dibawa oleh agama Islam,” katanya.

Mujahid juga berharap kira-kira 1,300 orang peserta yang hadir hari ini adalah sebagai akar umbi atau duta bagi menyebarkan dan membawa idea itu ke peringkat bawahan dan menyokongnya.

Konvensyen sehari bertema “Mengisi Kemenangan Memartabatkan Islam” adalah bagi membincangkan konsep Rahmatan Lil Alami dan Maqasid Syariah.