Oksana nafi diceraikan Sultan Kelantan

Kisah penceraian Rihana Oksana Gorbatenko dengan Sultan Muhammad V tersebar di media sosial. (Gambar Instagram)

PETALING JAYA: bekas ratu cantik Rusia Rihana Oksana Gorbatenko menafikan beliau diceraikan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, susulan salinan sijil perceraian pasangan itu tersebar di media sosial.

Memetik laporan Malaysiakini, Oksana berkata beliau tidak pernah menjejakkan kaki ke Singapura pada Jun lalu untuk mendengar lafaz cerai tersebut.

“Secara peribadi saya tak pernah dengar sebarang talak dijatuhkan secara bersemuka kepada saya.

“Saya di Rusia bersama dengan anak. Saya dan anak tidak pernah menjejakkan kaki ke Singapura pada Jun lalu untuk bercerai,” katanya memetik laporan itu.

Sebelum ini, satu salinan sijil perceraian yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah Kelantan tersebar di media sosial.

Dokumen itu menunjukkan Sultan Kelantan menceraikan Oksana dengan “talak 3”.

Sebelum ini, Istana Kelantan mengeluarkan kenyataan bahawa gelaran keluarga diraja hanya dapat diberikan melalui pengumuman rasmi.

Istana Kelantan juga berkata tengku mahkota yang sah adalah Tengku Muhammad Faiz Petra, adik sultan sekarang.

“Tiada sesiapa pun boleh digelar sebagai Permaisuri Kelantan, Raja Perempuan Kelantan, Sultanah Kelantan atau ‘Queen of Kelantan’ tanpa sebarang pengumuman rasmi dari Istana Kelantan,” kata pengelola istana Nik Mohd Shafriman Nik Hassan.

Khamis lalu, kerajaan Kelantan meminta semua pihak menunggu pengumuman daripada Istana Kelantan berhubung perkembangan berita perceraian Sultan Muhammad V dengan Oksana.

Menteri Besar, Ahmad Yakob berkata, hanya pejabat Istana Kelantan sahaja yang boleh mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai isu pernikahan dan perceraian Sultan Muhammad V.