Pakar: Kurang kemudahan gugur kandungan punca pil gugur janin ‘online’ laris

KKM merampas produk menggugurkan janin secara atas talian bernilai RM97,578 sejak 2016.

PETALING JAYA: Pakar kesihatan reproduktif menganggap permintaan pil gugur janin yang tinggi secara atas talian disebabkan kekurangan kemudahan bagi wanita yang mahu menggugurkan kandungan mereka.

Dr John Teo, penasihat perubatan kepada Persekutuan Persatuan-Persatuan Kesihatan Reproduktif Malaysia, menggesa peningkatan kemudahan yang boleh diakses tetapi memberi amaran mereka mesti dipantau rapi untuk memastikan keselamatan perkhidmatan mereka.

Bercakap kepada FMT, beliau mengakui perkara ini akan mencabar kerana kurangnya pemahaman undang-undang melibatkan pengguguran walaupun dalam kalangan profesional penjagaan kesihatan.

“Pengguguran tidak selamat adalah ancaman global terhadap kesihatan wanita, dan Malaysia tidak terkecuali.

“Pengguguran selamat, apabila mengikut dan dibenarkan di bawah undang-undang Malaysia, biasanya diselia atau dilakukan oleh doktor,” katanya.

Beliau memberi amaran usaha untuk menghentikan penjualan pil gugur janin secara “online” akan menjadi sukar jika pil yang selamat dan disahkan seperti misoprostol dan mifepristone, kekal tidak tersedia.

Beliau berkata ini mewujudkan situasi di mana mereka yang mencari perkhidmatan menggugur janin akan ditipu untuk membeli pil tidak tulen atau pil palsu yang sesetengahnya mungkin berbahaya.

Kekurangan klinik gugur janin yang diluluskan dan pil yang disahkan, katanya, boleh membuatkan sesetengah wanita menggunakan kaedah jalan pintas atau dos berbahaya.

Beliau menegaskan keperluan pendidikan seks yang komprehensif, mengatakan ia akan membantu mengurangkan bilangan kehamilan yang tidak dirancang.

“Ia menunjukkan bahawa peningkatan maklumat dan pengetahuan akan menurunkan kadar pengguguran,” katanya.

Beliau juga mencadangkan akses yang lebih bebas kepada kontraseptif kepada wanita dan remaja perempuan dan peningkatan dalam ketersediaan perkhidmatan perancangan keluarga dan pengguguran.

Minggu lalu, Kementerian Kesihatan dilaporkan menjalankan 16 serbuan yang mensasarkan produk menggugurkan janin secara atas talian dengan nilai rampasan sebanyak RM97,578 sejak 2016.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Noor Hisham Abdullah berkata pil “misoprostol” dan “mifepristone” merupakan produk tidak berdaftar dan tidak dibenarkan dijual di pasaran Malaysia.

Kementerian juga, katanya, turut memantau 225 lama sesawang dan 98 daripadanya dihantar kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Facebook, Twitter dan YouTube untuk tindakan penutupan.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Dr N Ganabaskaran berkata beberapa pil gugur janin terbukti alternatif yang selamat sebagai alat pengguguran dan biasanya dirujuk oleh mereka yang berniat untuk menggugurkan kandungan mereka.

Namun, beliau menambah adalah lebih baik berunding dengan doktor, pakar obstetrik atau pakar perbidanan daripada membuat pembelian secara atas talian.

“Seseorang mungkin mengalami komplikasi dan masalah kesihatan serius jika ubat yang dibeli itu tidak sesuai untuknya atau jika ia adalah palsu,” katanya.