Pemimpin PKR 3 negeri belum tanda tangan dokumen sokong Anwar

Presiden PKR Anwar Ibrahim.

PORT DICKSON: Tiga orang pemimpin negeri belum menandatangani dokumen yang mengistiharkan sokongan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Mereka merupakan pengerusi PKR Johor, Selangor dan Sarawak.

Pengerusi PKR Kedah Johari Abdul berkata, mereka telah menghubungi Amirudin Shaari dari Selangor, tetapi gagal mendapatkan beliau.

“Kami telah menghubungi semua mereka. Saya juga menghantar teks pesanan kepada Amirudin, tetapi beliau belum membacanya. Mungkin beliau sibuk dengan isu gangguan bekalan air di Selangor,” katanya.

Beliau berkata, Menteri Kerja Raya Baru Bian mungkin juga sibuk, sementara Pengerusi PKR Johor Hassan Karim pula telah menyerahkan surat peletakan jawatannya.

Berhubung pengerusi PKR Perak, Johari berkata, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, yang kini ditahan berikutan siasatan polis mengenai isu klip video seks sejenis, telah memberikan persetujuannya sebelum itu.

Setakat ini, 10 pengerusi PKR negeri telah menandatangani dokumen sokongan kepada Anwar.

Pemimpin PKR kini menghadiri satu pertemuan di sebuah hotel di sini. Terdahulu, satu pertemuan tertutup selama 3 jam diadakan antara pemimpin parti yang menyokong Anwar dengan timbalannya Mohamed Azmin Ali.

Perselisihan dalam PKR dikatakan melebar selepas Anwar memberitahu Azmin supaya meletakkan jawatan sekiranya beliau merupakan lelaki dalam klip video seks yang dikatakan dirakam di sebuah hotel di Sandakan Mei lepas.

Bekas ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Aziz mengaku beliau merupakan salah seorang daripada 2 lelaki dalam video terbabit.

Azmin menafikan beliau adalah lelaki seorang lagi, selain mendakwa ia merupakan percubaan untuk membunuh kerjaya politiknya.