Pihak salah guna wang GST adalah PH, bukan BN, kata Najib

Bekas perdana menteri, Najib Razak.

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak berkata pihak yang menyalahgunakan wang tuntutan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) adalah kerajaan Pakatan Harapan (PH), bukannya Barisan Nasional (BN).

Beliau bagaimanapun berkata Menteri Kewangan Lim Guan Eng sebaliknya cuba menyalahkan kerajaan BN dengan menuduh mereka merompak duit GST.

“Oleh kerana penipuan Guan Eng yang nak menutup penyalahgunaan baki wang GST RM22.85 bilion, 13 ahli Parlimen serta pegawai atasan kerajaan perlu menghabiskan masa untuk bermesyuarat dan mengeluarkan laporan PAC ini.

“Oleh kerana Guan Eng ini, 1 Malaysia ditipu.

“Oleh kerana pembohongan Guan Eng, Parlimen kita menjadi kecoh beberapa kali,” katanya menerusi kiriman Facebook, hari ini.

Sebelum ini, Lim mendakwa kerajaan BN menyalahgunakan RM19.4 bilion untuk pembayaran balik GST, tetapi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengesahkan tiada wang tuntutan bayaran balik GST yang hilang.

Ia selepas PAC mendakwa tiada kehilangan wang dalam kutipan hasil GST, sebaliknya undang-undang yang menuntut supaya wang dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Pembayaran Balik GST tidak dipatuhi, apabila memasukkan semua hasil kutipan ke dalam Akaun Hasil Disatukan terlebih dahulu.

Terdahulu, Najib berkata kerajaan BN pimpinannya tidak melakukan sebarang kesalahan dengan memasukkan terus kutipan GST ke akaun Kumpulan Wang Disatukan seperti diperuntukkan undang-undang.

Mengulas lanjut, Najib yang melampirkan penjelasan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Ahmad Badri yang diberi kepada PAC mengatakan baki wang GST dalam akaun kerajaan setakat 1 Jun 2018 adalah RM22.85 bilion iaitu lebih tinggi dari jumlah keseluruhan wang tuntutan GST sebanyak RM19.4 bilion.

“Bermakna ianya cukup untuk membayar semua tuntutan GST. Wang GST tak hilang atau disalahgunakan. Malah, bakinya adalah lebih dari jumlah tuntutan GST,” katanya.

Najib turut memetik laporan PAC yang menunjukkan tiada rekod kerajaan PH membayar balik wang tuntutan GST dari Mei 2018 selepas mereka ambil alih kerajaan sehingga akhir 2018.

“Sepatutnya, tuntutan GST untuk April dan Mei 2018 dibayar balik pada Mei dan Jun 2018 tetapi PH tak bayar satu sen pun,” katanya.