PM Iraq arah siasat serangan dron di kem Syiah Turkoman

Kem Hashd Shaabi dibom 2 kali pada awal pagi oleh sebuah dron tidak dikenali menyebabkan 2 penasihat Iran maut.

BAGHDAD: Perdana Menteri Iraq Adel Abdul-Mahdi pada Jumaat mengarahkan satu siasatan dijalankan berhubung serangan sebuah pesawat tanpa pemandu ke atas kem separa tentera Hashd Shaabi di wilayah tengah Salahudin, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan tentera Iraq.

Mahdi, yang juga ketua komander tentera Iraq, mengeluarkan arahan “membentuk satu jawatankuasa pencarian fakta terdiri daripada Komando Operasi Bersama (JOC), wakil komando tentera udara, komando pertahanan udara dan Hashd Shaabi, untuk menunjukkan apa yang sebenarnya terjadi di kem itu,” menurut kenyataan yang dikeluarkan pejabat media JOC.

Terdahulu, JOC dalam satu kenyataan ringkas berkata, kem Hashd Shaabi dibom sebanyak 2 kali pada awal pagi oleh sebuah dron yang tidak dikenali.

Setakat ini tiada pihak mengaku bertanggungjawab melakukan serangan itu.

Serangan itu menyebabkan 3 anggota militia Iraq dan 2 penasihat Iran dalam briged Hashd Shaabi cedera, kata sumber keselamatan kepada Xinhua.

Kedua-dua penasihat Iran meninggal dunia akibat kecederaan selepas dipindahkan ke hospital, menurut sumber yang enggan dikenali itu.

Kesemua anggota briged adalah daripada minoriti puak Syiah Turkoman, dan briged itu sendiri bersekutu dengan Pertubuhan Badar yang disokong Iran serta dipimpin oleh pemimpin Syiah Hadi al-Ameri, kata sumber itu.