Polis ambil keterangan 3 Orang Asli halang aktiviti pembalakan

Sebelum ini, Orang Asli di Gua Musang dan Gerik membuat manusia dan sekatan bagi menghalang aktiviti pembalakan di kawasan mereka. (Gambar Facebook)

IPOH: Polis mengambil keterangan daripada 3 Orang Asli berhubung insiden kekecohan di kawasan pembalakan seluas 42 hektar di Kampung Papan, Gerik pada Khamis lepas.

Ketua Polis Perak Razarudin Husain berkata ketiga-tiga lelaki itu dibawa ke Balai Polis Gerik pada 10 pagi tadi.

“Polis menerima laporan daripada pihak pembalakan yang mendakwa terdapat beberapa sekatan menggunakan kayu yang diletakkan di kawasan pembalakan dipercayai bagi menghalang aktiviti pembalakan dan laluan di kawasan itu pada Khamis lepas.

“Susulan itu, polis membawa ketiga-tiga Orang Asli berkenaan yang dipercayai menghasut orang lain supaya turut membuat sekatan, untuk diambil keterangan dan meredakan keadaan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata difahamkan aktiviti pembalakan yang dijalankan di kawasan itu mempunyai kelulusan daripada kerajaan negeri dan bermula sejak tahun lalu.

“Isu ini sudah lama berbangkit dalam kalangan Orang Asli berhampiran sejak aktiviti itu dimulakan,” katanya.

Katanya ketiga-tiga Orang Asli berkenaan tidak ditahan tetapi dibenarkan pulang setelah keterangan diambil bagi mengelakkan keadaan menjadi semakin keruh dan masalah berhubung isu berkenaan akan dibincangkan oleh pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) bersama kumpulan itu.