PPBM jangan jadi seperti Umno sehingga ditolak rakyat, kata Dr M

Pengerusi PPBM Dr Mahathir Mohamad berucap merasmikan mesyuarat agung khas parti itu di Serdang hari ini.

SERDANG: Pengerusi PPBM, Dr Mahathir Mohamad mengingatkan partinya supaya tidak menjadi seperti Umno jika tidak mahu ditolak rakyat.

Beliau berkata, Umno ditolak rakyat kerana parti itu dilihat telah berubah daripada pejuangan asal kepada berjuang untuk diri sendiri.

“Bukan parti salah sebab parti itu berjuang untuk agama bangsa dan negara, tetapi dipimpin oleh mereka yang berjuang untuk diri sendiri atau untuk isteri.

“Maka rakyat tolak sehingga jatuh tersungkur. Parti kita jangan jadi seperti Umno. Berjuang untuk perjuangan bukan untuk diri sendiri,” katanya dalam ucapan perasmian Mesyuarat Agung Khas PPBM di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, hari ini.

Mahathir menambah pada mulanya Umno memang setia dalam perjuangan, tetapi lama-lama kelamaan, didapati pemimpin parti itu lebih mengutamakan diri dan tempat sendiri.

“Maka berlakulah cara-cara tak baik untuk dapatkan tempat dalam parti,” katanya.

Pada 9 Mei tahun lepas Barisan Nasional (BN) yang dianggotai Umno kalah pada pilihan raya umum ke-14. setelah menguasai kerajaan sejak sebelum Merdeka pada 1957.

Mahathir berkata, antara sebab Umno ditolak ialah sikap pemimpinnya yang tidak boleh menerima pemimpin yang lebih pandai daripada diri mereka sendiri.

“Kita lihat umpamanya, bila tubuhkan sebuah cawangan Umno, pemimpin Umno yang jadi ketua cawangan tidak berminat lihat orang lain yang lebih cekap daripadanya menyertai cawangan itu.

“Ketua Cawangan tidak benarkan orang yang lebih pandai daripadanya. Yang boleh sertai cawangan itu adalah orang lebih bodoh daripadanya. Tetapi kita tidak hidup selama-lamanya,” katanya.

Katanya rakyat sudah pasti akan menolak parti yang berjuang untuk diri sendiri sehingga ia jatuh tersungkur.

Katanya, bukan itu sahaja, pemimpin parti itu sedang dihadapkan ke mahkamah dan berkemungkinan akan dapati bersalah dan dihukum penjara.

“Saya cerita sini kerana saya bernasib baik kerana terlibat dalam politik di negara kita dan negara lain selama hampir 70 tahun.

“Sikap pemimpin, pejuang, berubah bila mereka berjaya. Mereka lebih utamakan diri sendiri dan sebab itu bila pegang jawatan dan mahu kekalkan jawatan itu,” katanya.

Beliau seterusnya meminta ahli PPBM supaya mengutamakan bangsa, agama dan negara berbanding diri sendiri.

“Kita lihat Umno yang perjuang nasib orang Melayu dan kemerdekaan negara ditolak oleh rakyat kerana pemimpin tak berjuang untuk rakyat tetapi untuk tembolok diri sendiri.

“Apabila utamakan diri mereka maka tetap akan ditolak rakyat dalam sistem demokrasi, rakyat akan tentukan sama ada kita layak atau tidak,” katanya.

Mesyuarat khas hari ini diadakan bagi meminda perlembagaan PPBM.