Presiden PSB lepas jawatan menteri Ogos ini, kata Abang Johari

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg pada majlis pelancaran bahagian-bahagian Gabungan Parti Sarawak (GPS).

KUCHING: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang dan Menteri Kewangan ke-2 Sarawak, Wong Soon Koh akan meninggalkan pejabatnya selepas menghabiskan cuti beliau pada Ogos.

Ketua Menteri Abang Johari Openg berkata, Wong telah menyerahkan surat peletakan jawatan 2 jawatan menteri beliau.

“Beliau kini bercuti,” katanya selepas merasmikan pelancaran bahagian-bahagian Gabungan Parti Sarawak (GPS) di sini, hari ini.

Pada Rabu, dilaporkan bahawa Wong membuat kunjungan hormat ke atas Abang Johari di pejabat beliau.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bawang Assan itu enggan mendedahkan sama ada beliau telah menyerahkan surat peletakan jawatannya daripada Kabinet atau tarikh akhir jawatannya.

Beliau juga berkata, terserah kepada ketua menteri untuk mengumumkan individu yang bakal menggantikan beliau.

Wong Soon Koh.

Pada Isnin, Wong, 77, yang juga merupakan presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) mengumumkan keputusan untuk berundur dari jawatan menteri yang disandang oleh beliau.

Katanya, beliau tidak lagi mempunyai locus standi moral untuk kekal dalam Kabinet dan memutuskan untuk berundur atas prinsip “integriti politik”.

Ini berikutan peminggiran wakil PSB daripada senarai ahli baru 24 pihak berkuasa tempatan di negeri itu.

Juga dilaporkan bahawa wakil rakyat PSB tidak memperolehi dana untuk projek kecil luar bandar dan program transformasi luar bandar sejak April.

Abang Johari berkata, beliau menghormati keputusan Wong untuk meletakkan jawatannya dalam Kabinet negeri.

“Itu pilihan beliau. Saya pasti Wong, sebagai ahli politik berpengalaman, mempunyai sebab-sebab beliau sendiri,” katanya.

Terdahulu Wong berkata, beliau percaya tiadanya wakil PSB dalam senarai ahli majlis baru adalah kerana saiz partinya sedang berkembang, justeru menjadi ancaman kepada parti komponen GPS.

“Saya tidak faham kenapa GPS tiba-tiba menganggap kami musuh.

“Kami hanya menerima masuk beberapa orang pemimpin daripada parti komponen GPS yang sebelum ini dipecat oleh parti terbabit atau meletakkan jawatan mereka.

“Kami berniat baik, iaitu untuk mengukuhkan, bukan sahaja parti kami, tetapi juga GPS secara tidak langsung dengan menghalang pemimpin ini menyertai pembangkang,” kata Wong.