Semua parti ada masalah, bekas ahli Parlimen PD ulas pertelagahan Anwar-Azmin

Bekas Ahli Parlimen Port Dickson, Danyal Balagopal Abdullah. (Gambar Bernama)

PORT DICKSON: Bekas Ahli Parlimen Port Dickson, Danyal Balagopal Abdullah, yang melepaskan kerusinya kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim September lalu, berkata setiap parti politik mempunyai masalah dalaman.

Beliau juga mengulangi beliau tidak menyesal menyerahkan kerusinya supaya Anwar boleh bertanding di Port Dickson dan menang dalam pilihan raya kecil.

“Beritahu saya parti mana yang tidak ada masalah. Anda fikir Umno, DAP, Amanah, PPBM, PAS tidak ada masalah?” soalnya kepada FMT di luar majlis temu rapat PKR yang berakhir Ahad ini.

Danyal mengulas pertelagahan antara Anwar dan pemimpin nombor 2 parti itu, Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata ahli politik pembangkang dan beberapa yang lain memberi gambaran PKR dalam keadaan huru-hara.

Beliau yang mengakui PKR mempunyai beberapa isu, namun katanya mereka akan mengatasinya.

Beliau menjangkakan pemimpin parti dapat menyelesaikannya dan keadaan kembali normal.

Danyal yang bersara sebagai laksamana tentera laut selepas 40 tahun berkhidmat, terus berkhidmat kepada rakyat Port Dickson.

“Saya di sini untuk berkhidmat. Terdapat begitu banyak isu tanah. Lebih-lebih lagi, orang mendapat manfaat daripada pengunduran saya kerana Anwar adalah bakal perdana menteri dan rakyat di sini pastinya akan mendapat faedah,” katanya.

Mengenai rancangannya, beliau berkata beliau terbuka dengan sebarang tawaran daripada kerajaan.

Katanya, beliau mahu berkhidmat kepada rakyat dan jika beliau ditawarkan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan atau menjadi senator, beliau terbuka untuk menerimanya.

Danyal dikritik ketika beliau menyerahkan kerusinya tahun lalu kepada Anwar dengan beberapa pengundi menggelarkannya sebagai pengkhianat.