Azmin ambil maklum kenyataan Anwar terhadap siasatan video seks gay

Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

PETALING JAYA: Mohamed Azmin Ali mengambil maklum kenyataan Anwar Ibrahim di mana presiden PKR itu berkata beliau menerima baik penemuan polis dalam siasatan mereka berhubung video seks gay yang didakwa membabitkan menteri hal ehwal ekonomi itu.

Semalam, Anwar berkata parti itu menerima baik kenyataan polis bahawa Azmin tidak terlibat dalam klip video seks gay dan mengulangi pendirian parti terhadap politik jijik.

Ahli Parlimen Port Dickson sebelum ini berkata jika siasatan membuktikan Azmin terbabit dalam klip video tersebut, maka beliau harus meletakkan jawatan – satu kenyataan yang membawa kepada kritikan Azmin.

Ia juga membawa kepada pertelagahan dalam PKR, dengan Naib Presidennya Zuraida Kamaruddin mendakwa terdapat keretakan dalam parti itu.

Malam tadi, Azmin – yang tidak menghadiri majlis temu rapat parti di Port Dickson – berkata beliau mengambil maklum pendirian Anwar yang menerima hasil siasatan polis.

“Saya juga mengambil maklum ketetapan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap pimpinan dan anggota parti yang terlibat dalam sebaran video ini.

“Ini selari dengan ketegasan saya dari awal bahawa politik kotor dalaman parti mesti diperangi habis habisan,” kata Ahli Parlimen Gombak itu.

Gesaan awal Anwar supaya Azmin letak jawatan, jika beliau memang terlibat dalam video itu, membawa kepada perbezaan pendapat dalam parti tersebut.

Sebelum ini, Haziq mengaku beliau adalah salah seorang lelaki dalam video seks gay, dan menamakan Azmin sebagai individu ke-2. Azmin menafikan dakwaan ini dan mengatakan ia adalah usaha untuk memusnahkan masa depan politiknya.