Berbeza pandangan bukan bererti khianat, kurang ajar, kata Khairy

Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin menegaskan beliau bukan pengkhianat atau bersikap kurang ajar terhadap pucuk pimpinan Umno, sebaliknya hanya menyuarakan pandangan.

Khairy berkata, tidak dinafikan beliau mempunyai pandangan berbeza dalam sesetengah isu yang diputuskan pimpinan parti, namun kesetiannya kepada Umno tidak perlu diragui atau dipertikaikan.

“Saya mungkin ada pandangan berbeza, tetapi jangan sesekali ragu dengan kesetiaan saya kepada Umno. Tidak bermaksud Khairy jadi pengkhianat. Jangan terlalu cepat melabel orang.

“Saya hanya katakan apa yang saya rasa benar,” katanya sewaktu merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Kota Melaka, hari ini.

Khairy sebelum ini dilaporkan menyuarakan rasa tidak gembiranya selepas bekas perdana menteri Najib Razak dilantik sebagai pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN).

Khairy turut menegur Presiden Umno Zahid Hamidi supaya bertindak sebagai presiden, bukannya berperanan sebagai “setiausaha politik” Najib.

Khairy berkata, pemimpin dan ahli Umno harus meraikan perbezaan pandangan setiap anggotanya dan pada masa sama tidak seharusnya menuruti tanpa soal setiap keputusan pucuk pimpinan parti.

“Takkanlah kita hendak berada di dalam parti yang tidak meraikan pelbagai pendapat. Perbezaan pendapat itu tidak semestinya menunjukkan wujudnya persengketaan.

“Kalau tutup minda daripada perbincangan terbuka, Umno akan jadi seperti sebelum ini,” katanya.

Tambah Khairy, beliau sentiasa melaksanakan arahan dan tanggungjawab yang diamanahkan oleh pucuk pimpinan, walaupun mempunyai pandangan yang dilihat berbeza.

“Saya ada pandangan berbeza, tetapi akhirnya kalau diminta hendak buat sesuatu, saya buat demi kebaikan parti, bukan hendak rosakkan parti,” katanya.

Pada masa sama, Khairy turut mengingatkan pemimpin yang terlibat merencana “piagam perpaduan ummah” antara Umno dan PAS supaya memastikan perjanjian yang bakal ditandatangani itu adil kepada semua pihak, termasuk MIC dan MCA.

“Jangan kerana hendak menang dalam pilihan raya kita buat perjanjian berat sebelah. Kandungan piagam ini harus adil kepada Umno dan PAS. Kalau ditakdirkan kita menang pilihan raya, apakah pula agenda seterusnya?

“Taawun ini perlu dilihat dengan lebih teliti. Dalam meraikan hubungan kita dengan PAS, jangan lupa sahabat asal kita, iaitu MIC dan MCA, kasihan mereka. Masing-masing hanya tinggal 1 kerusi di Parlimen,” katanya.

Khairy yang bertanding merebut jawatan presiden parti sewaktu pemilihan Umno lepas berkata, beliau akan sentiasa membantu parti dari belakang, walaupun tidak mempunyai kedudukan dalam parti.

“Umno mesti berubah. Kita kena menang pilihan raya umum bukan kerana rakyat marah Pakatan Harapan (PH), tetapi rakyat mesti nampak Umno berubah,” katanya.