Kerajaan lulus hampir RM1 bilion naik taraf fasiliti pengimbas di 72 pintu masuk negara

JKDM memainkan peranan penting dalam pengumpulan hasil bagi memastikan perkhidmatan awam dan operasi kerajaan berjalan lancar. (Gambar Bernama)

LABUAN: Kementerian Kewangan (MOF) meluluskan peruntukan hampir RM1 bilion untuk menaik taraf fasiliti mesin pengimbas di 72 lokasi utama pintu masuk negara.

Menterinya Lim Guan Eng berkata, peruntukan itu juga adalah untuk pembelian 76 mesin pengimbas baru dan 32 bot peronda bagi memantapkan lagi aktiviti kawalan perbatasan negara.

Katanya, perolehan untuk fasiliti dan aset ini akan dibuat secara tender terbuka.

Guan Eng berkata, kementeriannya mengakui Jabatan Kastam (JKDM) memainkan peranan penting dalam pengumpulan hasil untuk kerajaan bagi membantu perkhidmatan awam dan operasi kerajaan dapat berjalan secara lancar.

“Menyedari hakikat ini, kerajaan mengambil berat terhadap kemampuan dan keperluan JKDM dalam melaksanakan tugas yang penting ini, secara efisien, profesional dan bersih,” katanya pada majlis perasmian Naik Taraf Pejabat Bahagian Perkastaman dan Pengurusan serta Pelancaran Sistem e-Clearance di bangunan Kastam Labuan hari ini.

Guan Eng berkata, pengenalan sistem e-Clearance Labuan membolehkan urusan dilakukan secara dalam talian.

“Ini adalah satu daripada contoh inovasi teknologi dan penambahbaikan yang sedang dilakukan,” katanya.

Beliau turut memuji inisiatif JKDM Labuan yang dapat membantu dan menjadikan agensi itu lebih berdaya maju dalam era mencabar ini.

Guan Eng berkata, kerajaan sentiasa meningkatkan kemampuan dan capaian JKDM, dan memastikan tahap layanan yang diberikan kepada rakyat ditingkatkan.