Kesetiaan ada batasnya, kata Azmin

Timbalan presiden PKR Mohamaed Azmin Ali berucap kepada lebih 500 penyokong di Shah Alam malam ini. (Gambar Twitter)

SHAH ALAM: Kesetiaan kita ada batasnya kata Azmin malam ini selain memaklumkan azamnya untuk tidak tunduk berhubung kontroversi klip video seks sejenis yang tular sebelum ini.

Azmin juga berkata, beliau berdiri bersama-sama pengerusi Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad dalam melaksanakan pembaharuan dan mengendalikan kerajaan.

Berucap di hadapan kira-kira 500 penyokong yang berkumpul di kediaman rasmi menteri besar Selangor malam ini, Azmin berkata, beliau tahu siapakah dalang di sebalik video seks tersebut.

“Dari awal saya tahu ini adalah permainan politik dari dalam,” katanya. “Alhamdulillah polis menjalankan penyiasatan. Saya sendiri disoal oleh polis bersama pakar forensik selama 5 jam. Saya berikan kerjasama penuh.”

Bercakap tentang dalang terbabit, Azmin berkata, “Kamu boleh rancang, kamu ada ratusan ribu ringgit kamu ada taukeh-taukeh, tetapi perancangan Allah mengatasi perancangan manusia”.

Beliau menggesa ahli parti supaya berani dalam memperjuangkan kebenaran dan keadilan serta menolak politik kotor.

“Rakyat muak dan letih dengan politik kotor. Mereka mahu hasil,” katanya.

Azmin berkata, beliau tidak mahu bercakap tentang kontroversi yang berlaku, tetapi mendapat semangat daripada khalayak yang hadir. Beliau berkata, ini merupakan kali pertama beliau melihat “ribuan orang hadir di sini”.

Katanya, beliau mengadakan pertemuan panjang dengan Mahathir 2 hari lepas mengenai pembaharuan dan dinasihatkan supaya meneruskan perjuangan politiknya.

“Perdana menteri menasihatkan saya dalam pertemuan itu supaya meneruskan perjuangan, bersama-sama Kabinet, supaya tumpu soal kerja, soal ekonomi dan mentadbir negara,” kata Azmin.

Azmin yang merupakan timbalan presiden PKR adalah menteri hal ehwal ekonomi.

Beliau berkata, kontroversi hari ini menemukannya dengan orang yang dikenali, tetapi “kesetiaan kita ada batasnya”.

Ketika diminta menjelaskan lebih lanjut, Azmin berkata, kenyataan itu tidak ditujukan terhadap mana-mana orang, sebaliknya ahli PKR perlu komited pada perjuangan parti.

Azmin berkata, beliau dikenali kerana kesetiaannya. “Saya tidak pernah khianat dalam persahabatan. tetapi apabila orang khianat perjuangan rakyat, saya tidak ada pilihan”.

Beliau kemudian merujuk beberapa pimpinan PKR yang hadir termasuk Saifuddin Abdullah, Kamaruddin Jaafar, Rashid Hasnon, R Sivarasa, Tian Chua, Dr Mansor dan Adlin Zabri, bekas setiausaha akhbar Anwar Ibrahim.