Ketua PKR Sabah beri sokongan penuh kepada Anwar

Pengerusi MPN Sabah, Christina Liew. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: PKR Sabah meminta agar pimpinan parti tidak mengeluarkan kenyataan yang semakin menjejaskan keharmonian parti.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah Christina Liew berkata pimpinan parti itu sepatutnya perlu memberi sokongan padu kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk menyelesaikan kemelut dan masalah yang melanda parti.

“Setelah berjaya mengambil alih kerajaan pusat dan memegang majoriti kerusi Parlimen pimpinan dan ahli-ahli parti perlu fokus mengisi Malaysia Baru dengan menjayakan agenda reformasi serta perubahan ke arah yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga timbalan ketua menteri berkata MPN Sabah menyokong penuh kepimpinan Anwar dalam usaha menyatukan kembali pimpinan parti dan ahli-ahli yang sedang bergolak ketika ini.

Katanya, kenyataan Anwar perlu disokong agar isu ini tidak menjejaskan usaha untuk memulihkan ekonomi rakyat yang semakin meruncing ketika ini.

Rakyat mahu kerajaan Pakatan Harapan menumpukan usaha kepada isu pembangunan dan peningkatan ekonomi dan bukannya dipaparkan dengan persengkataan pimpinan, katanya.

Justeru, Christina mahu pimpinan terutama di Sabah dan ahli-ahli bersatu hati dan fokus kepada isu rakyat serta pemantapan cabang masing-masing.