KPM, KPDNHEP bertindak atasi jualan vape kepada murid sekolah

Sebelum ini tular di laman sosial klip video menunjukkan murid sekolah rendah menghisap rokok elektronik. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk mengatasi masalah penjualan rokok elektronik dan vape kepada murid sekolah.

KPM dalam kenyataan hari ini berkata, berdasarkan pemantauan yang dibuat, ia mendapati jualan bahan tersebut berlaku di luar kawasan sekolah.

“KPM memandang serius isu jualan bahan terlarang seperti rokok elektronik dan vape kepada murid sekolah yang ditularkan sejak beberapa hari lalu.

“Sehubungan itu, bagi memastikan perkara ini tidak berleluasa, KPM akan bekerjasama dengan KPDNHEP untuk membendung jualan bahan terlarang itu terutama kepada murid sekolah,” menurut kenyataan tersebut.

KPM berkata, ia turut mengambil langkah sewajarnya dalam memberi pendedahan tentang larangan membeli dan bahaya penggunaan bahan seumpama itu dari sudut kesihatan.

Ia mengingatkan ibu bapa untuk memantau kegiatan anak-anak yang menjurus ke arah penggunaan bahan terlarang itu.