Mahkamah Tinggi boleh bicara pertikaian Putrajaya-kerajaan Kelantan, kata peguam

G Ragumaren dan Gurdial Singh Nijar (4 dan 5 dari kiri) serta David Ragumaren (4 dari kanan) bersama satu kumpulan Orang Asli di Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini.

PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi boleh membicarakan pertikaian antara Putrajaya dengan kerajaan Kelantan berkait dakwaan menceroboh kawasan petempatan Orang Asli di Gua Musang kerana ia melibatkan 5 syarikat persendirian, kata peguam.

Gurdial Singh Nijar, yang mendapat fiat daripada peguam negara untuk mengendalikan kes berkenaan berkata, Mahkamah Persekutuan boleh mendengar pertikaian antara kerajaan pusat dengan sesebuah negeri di bawah Perkara 128 (1)(b) hanya jika isu perlembagaan dirujuk antara 2 negeri berdaulat.

“Saman ini juga menamakan defendan lain (5 syarikat), justeru Perkara 128 (1)(b) perlembagaan persekutuan tidak boleh digunakan,” katanya dalam penghujahan beliau di Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini bagi mematahkan permohonan kerajaan negeri untuk membatalkan saman berkenaan.

Gurdial berkata, atas sebab-sebab praktis, tidak juga harus ada 2 perbicaraan berhubung fakta yang serupa.

Kerajaan PAS Kelantan berhujah bahawa Putrajaya tidak mempunyai hak di sisi undang-undang untuk membawa kes itu terhadapnya, pengarah tanah dan lombong negeri serta pengarah Jabatan Hutan negeri.

Negeri berpendapat kerajaan persekutuan tidak mempunyai locus standi untuk mengambil tindakan itu.

Gurdial bagaimanapun berkata, Putrajaya bertanggungjawab memelihara dan melindungi kebajikan Orang Asli di semenanjung Malaysia seperti diperuntukkan di bawah perlembagaan negara.

“Perlembagaan memberikan kepada kerajaan persekutuan hak eksklusif untuk membuat undang-undang berkaitan kebajikan orang asli di bawah Jadual 9, Senarai 1 dan Item 16 perlembagaan,” katanya.

Selain itu katanya, Parlimen meluluskan Akta Orang Asli 1954 dan undang-undang itu meletakkan isu kebajikan Orang Asli di bawah seorang ketua pengarah.

Gurdial berkata, Malaysia juga menandatangani Deklarasi Hak Orang Asal Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan walaupun ia tidak mengikat mahkamah, Orang Asli mempunyai jangkaan sah ke atas Putrajaya untuk melindungi hak mereka.

Peguam persekutuan Kamal Azira Hassan, Saffiyah Omar dan Ann Khong Hui Li dan peguam David Ragumaren dan G Ragumaren, yang turut diberikan lesen khas oleh peguam negara, mewakili Putrajaya.

Peguam Khoo Guan Huat, yang mewakili kerajaan negeri dan 2 yang lain berkata, perlembagaan persekutuan, yang merupakan dokumen undang-undang tertinggi Malaysia, memberikan bidang kuasa untuk mendengar pertikaian antara negeri dengan Putrajaya hanya kepada Mahkamah Persekutuan.

“Apa-apa perisytiharan yang dimohon oleh kerajaan persekutuan terhadap kerajaan negeri mesti dibawa dan diputuskan di hadapan mahkamah tertinggi itu,” katanya.

Khoo, yang hadir bersama-sama bekas ketua hakim negara, Salleh Abas berkata, isu berkaitan tanah dan hutan terletak di bawah bidang kuasa negeri, dan kerajaan persekutuan tidak boleh campur tangan.

Peguam itu berkata, mahkamah tertinggi merupakan forum yang layak bagi memutuskan sekiranya kerajaan negeri dan persekutuan mempunyai tanggungjawab fidusiari bersama ke atas Orang Asli.

Katanya, langkah memfailkan saman berdasarkan alasan tanggungjawab perlembagaan dan undang-undang bagi pihak Orang Asli di Pos Simpor bukanlah langkah yang diketahui dalam undang-undang.

“Justeru tuntutan plaintif (Putrajaya) adalah sewenang-wenang, remeh, menyusahkan dan menyalahgunakan proses mahkamah dan hendaklah dibatalkan,” katanya.

Pesuruhjaya Kehakiman Wan Ahmad Farid Wan Salleh akan membuat penghakiman pada 6 Ogos.

Pada Januari, Putrajaya memfailkan saman bagi melindungi hak tanah adat Orang Asli dan memohon satu injunksi bagi menghalang syarikat persendirian daripada menceroboh tanah adat untuk menjalankan aktiviti komersial, berserta beberapa perisytiharan lain.

Ia juga menamakan Fleet Precision Sdn Bhd, Koperasi Kijang Mas Negeri Kelantan Bhd, KPG Maju Enterprise Sdn Bhd, Ringgit Saksama (M) Sdn Bhd dan M7 Plantation Bhd.

Kerajaan negeri Kelantan dan agensinya memberikan lesen membalak kepada syarikat persendirian, dan membenarkan mereka memasuki tanah adat Orang Asli Temiar di Pos Simpor, berdekatan Gua Musang.

Kawasan hutan yang luas dilaporkan ditebang untuk tujuan peladangan durian dan getah.

Dalam pernyataan tuntutannya, Putrajaya berkata, ini menyebabkan Orang Asli Temiar kehilangan tanah adat dan sumber mereka, selain mengakibatkan insiden hakisan meluas, pencemaran dan kerosakan kekal ke atas ekologi dan landskap di Pos Simpor.