Najib kecewa PH salahkan 1MDB berhubung kenaikan hutang negara

Bekas perdana menteri Najib Razak.

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak kecewa apabila isu 1MDB terus dijadikan bahan propaganda Pakatan Harapan (PH) walaupun sudah memerintah Putrajaya hampir 15 bulan.

Najib berkata, semua pihak maklum hutang ditinggalkan 1MDB sejak 2016 tidak bertambah. Bahkan turut mempersoalkan bagaimana hutang 1MDB boleh menyumbang kepada kenaikan hutang untuk 2018.

“Sendiri naikkan, PH hendak salahkan 1MDB pula. Saya tidak hairan jika 1MDB akan disalahkan lagi untuk kenaikan hutang negara sebanyak RM63 bilion pada akhir 2018 kepada RM804 bilion pada Jun 2019.

“Mereka petik hutang sahaja tetapi tidak memetik aset dan apakah yang dibangunkan oleh 1MDB,” katanya menerusi Facebooknya, hari ini.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Bajet, Mustapha Mohamed mengesahkan hutang dan liabiliti kerajaan Persekutuan pada akhir 2018 berjumlah RM1.1 trilion.

Mustapha berkata, pecahan itu termasuk RM741 bilion hutang kerajaan Persekutuan, RM132.7 bilion membabitkan jaminan pinjaman yang ditanggung kerajaan, RM32.2 bilion hutang bersih 1MDB, tidak termasuk faedah dan liabiliti lain berjumlah RM184.9 bilion.

Najib berkata, PH seharusnya menyenaraikan projek yang dilaksanakan 1MDB menerusi hutang yang didakwa mereka sebanyak RM32.2 bilion itu.

“Sebanyak 8 pengkalan udara dibina dan dinaiktaraf termasuk pangkalan udara Sendayan. Projek Bandar Malaysia bernilai RM140 bilion yang sudah dijual PH kepada syarikat China pada April tahun ini.

“Bahkan dengan hutang RM32.3 bilion itu juga mampu melaksanakan projek TRX yang bernilai RM40 bilion, yang digelar menteri kewangan sebagai antara aset terbaik negara,” katanya.

Menurut Najib, 1MDB bukan sahaja membangunkan aset tetapi turut menyelesaikan perjanjian penjana elektrik bebas berat sebelah yang diwarisi sejak zaman perdana menteri ke-4.

“Menyelesaikan perjanjian dengan syarikat IPIC milik kerajaan Abu Dhabi untuk mendapatkan kembali semua wang yang didakwa hilang, setelah dipindah dijamin IPIC.

“Ia turut melaksanakan projek-projek CSR 1MDB, termasuk bantuan kepada pemandu teksi, biasiswa pelajar, bantuan haji dan sebagainya,” katanya.