Pencemaran: Husam saran Orang Asli Kuala Koh ambil tindakan undang-undang

Pengerusi PH Kelantan, Husam Musa, meminta peguam secara sukarela menyaman pihak terbabit dengan pencemaran di Kuala Koh.

TUMPAT: Masyarakat Orang Asli suku Batek di Kampung Kuala Koh, Gua Musang disaran agar mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang didakwa menyebabkan masalah pencemaran di kawasan penempatan mereka.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Husam Musa berkata, ia bagi memastikan kehidupan mereka Orang Asli lebih terjamin pada masa hadapan.

“Saya menyarankan agar mana-mana peguam secara sukarela bagi pihak Orang Asli menyaman pihak terbabit supaya perkara ini diteladani.

“Ia bertujuan agar tiada lagi pihak menyembunyikan amalan perlombongan haram kerana ia mencemarkan persekitaran dan punca air Orang Asli dan penduduk lain,” katanya selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bunga Raya di sini, hari ini.

Kegiatan perlombongan haram memungkinkan mereka dan keluarga dijangkiti penyakit yang sehingga kini tidak dapat disahkan oleh pihak berkuasa.

Walaupun hasil kajian awal dikatakan akibat demam campak, namun bedah siasat mendapati hanya 3 mangsa yang meninggal dunia disahkan akibat penyakit itu.

Semalam, Presiden Persekutuan Persatuan Perubatan Malaysia (FPMPAM) Dr Steven Chow dilaporkan berkata, ujian makmal terhadap sampel yang diambil dari sumber air pada 10 dan 11 Jun lepas di sekitar Kampung Kuala Koh mendapati wujudnya kandungan bahan pencemar dan toksik.