Penduduk dakwa tak lena tidur akibat pembinaan SUKE

Pemandangan kerja binaan lebuh raya SUKE yang bertempat di Taman Bukit Mandarina pagi ini yang didakwa penduduk ia dijalankan pada hari minggu.

KUALA LUMPUR: Penduduk sepanjang Jalan Alam Damai tidak dapat tidur lena pada malam hari berpunca daripada bunyi bising yang “tidak berkesudahan” daripada pembinaan di Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).

Mereka berkata pembinaan dijalankan walaupun pada waktu malam – bertentangan dengan janji bahawa ia tidak akan berlaku.

SUKE adalah lebuh raya bertingkat 3 laluan sejauh 24.4km yang menghubungkan Sri Petaling ke Ulu Kelang. Ia akan mempunyai 14 persimpangan yang menjangkau lebih 60 kawasan kediaman serta menghubungkan lebuh raya utama dan jalan raya di Kuala Lumpur.

Penduduk mahu kontraktor menjelaskan mengapa pembinaan dijalankan selepas pukul 6 petang dan ia turut dijalankan pada hari Ahad dan cuti umum.

Peter Goh dari Taman Bukit Mandarina Fasa 1, berkata penduduk di situ terpaksa mendengar bunyi bising daripada kerja penanaman cerucuk sejak beberapa bulan lalu.

Beliau berkata getaran yang disebabkan oleh proses itu dapat dirasai sejauh “beratus-ratus meter”.

Katanya, pendedahan maksimum terhadap bunyi bising melebihi 91 dB (decibel) sepatutnya 2 jam sehari, jika tidak, akan menyebabkan kerosakan pendengaran.

“Tetapi kami mendapatkan bacaan sekitar 93 dB dari rumah terdekat, yang kira-kira 150m jauhnya,” katanya kepada FMT.

Goh berkata kerja tanam cerucuk juga dilakukan pada hari Ahad dan hari cuti umum, “jadi penduduk tidak mendapat rehat daripada bunyi bising sepanjang minggu”.

Bagaimanapun, beliau berkata kerja itu berhenti pada malam hari di tapak pembinaan di belakang Taman Bukit Mandarina Fasa 1 selepas aduan oleh penduduk. Tetapi ia masih berterusan di kawasan lain, katanya.

Kawasan-kawasan yang terjejas termasuk Taman Bukit Mandarina Enclave, Kondominium Altitude 236, Taman Alam Damai Merawan dan beberapa bahagian Taman Len Seng.

David Loh yang tinggal di Kondominium Altitude 236, yang menghadap lebuh raya itu, berkata beliau mencatatkan bacaan 89 dB kepada 94 dB.

Katanya, beliau juga mendengar aduan daripada penduduk lain bahawa mereka tidak dapat tidur dengan nyenyak.

Colin Stuart, seorang penduduk di Taman Bukit Mandarina Second Enclave, mendakwa kerja pemasangan konkrit dijalankan dari 1.30 pagi hingga 5.30 pagi pada minggu lepas.

Beliau berkata subkontraktor berjanji pada Mac tahun lepas untuk tidak menjalankan kerja pembinaan yang “bising” berhampiran Second Enclave selepas 5 petang selepas penduduk menghantar surat aduan.

Mereka telah mematuhi janji sehingga baru-baru ini apabila kerja pemasangan konkrit bermula, kata Stuart.

Sementara itu, pegawai dari kontraktor utama Projek Lintasan Kota Sdn Bhd (Prolintas) mendakwa mereka telah memberitahu subkontraktor untuk mematuhi tempoh masa yang dipersetujui, kata penduduk.

Goh berkata langkah pencegahan seperti meletakkan halangan bunyi akan dimasukkan dalam Penilaian Impak Alam Sekitar untuk projek itu.

“Kami ingin tahu sama ada kontraktor utama telah mengambil langkah sedemikian,” katanya.

FMT sedang mendapatkan maklum balas daripada Prolintas.