Penyokong Anwar, Azmin anjur salat hajat berasingan berikutan ketegangan dalam PKR
Di kediaman rasmi menteri besar Selangor di Shah Alam, kira-kira 500 orang hadir sebagai tanda sokongan kepada Azmin.
KUALA LUMPUR: Penyokong Presiden PKR Anwar Ibrahim dan timbalannya Mohamed Azmin Ali mengadakan majlis salat hajat dan doa selamat berasingan malam ini berikutan pergeseran antara 2 pemimpin itu.
Di kediaman beliau di Bukit Segambut, Anwar mengadakan majlis salat dan zikir yang dihadiri kira-kira 100 orang.
Anwar bagaimanapun berkata, majlis hari ini diadakan setiap minggu dan merupakan perkara biasa.
“Tidak ada apa-apa. Program ini biasa diadakan setiap minggu,” katanya ketika ditemui di kediamannya.
Beliau seterusnya meminta media tidak mempolitikkan majlis itu kerana ia telah diadakan selama 6 bulan
Di Shah Alam, di kediaman rasmi menteri besar Selangor, kira-kira 500 orang hadir untuk majlis itu, termasuk anggota dan pemimpin parti seperti ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah serta anggota exco Pulau Pinang Alif Bahardin.
“Saya hadir untuk menunjukkan sokongan kepada Azmin. Saya tolak politik jijik,” kata seorang hadirin yang enggan dikenali.
Semalam Anwar berkata, beliau menerima baik kenyataan Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador bahawa pihaknya tidak dapat mengecam individu yang dikatakan mirip Azmin dalam satu video seks sejenis yang tular.
Anwar berkata, partinya tidak akan bertolak ansur dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya ada mana-mana ahli PKR yang terlibat.
Beliau sebelum itu meminta Azmin meletakkan jawatan sekiranya terbukti menteri hal ehwal ekonomi itu terlibat dalam video berkenaan.
Azmin membalas keras kenyataan tersebut dengan meminta Anwar “melihat dirinya dalam cermin”.
Azmin juga tidak hadir dalam program temu rapat pemimpin PKR selama 3 hari di Port Dickson yang berakhir hari ini.
Azmin, dan naib presiden PKR Zuraida Kamaruddin adalah antara 20 pemimpin parti yang belum menandatangani resolusi menyokong kepimpinan Anwar.
Pada 12 Jun lalu, bekas ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Aziz menggemparkan negara dengan pengakuan beliau terbabit dalam klip video seks sejenis di sebuah hotel di Sandakan, Sabah, Mei lalu.
Haziq menamakan Azmin sebagai pasangannya dalam video itu.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Azmin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu yang disifatkannya komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.