PKR beri sokongan penuh Anwar pimpin parti, kata Saifuddin

(Dari kiri) Saifuddin Nasution Ismail bersama Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad semasa upacara pembukaan majlis temu rapat PKR di Hotel Lexis Hibiscus, Port Dickson.

PETALING JAYA: PKR hari ini sebulat suara memberikan sokongan penuh kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk memacu dan memimpin parti serta menjadi tonggak Pakatan Harapan (PH).

Setiausaha Agungnya, Saifuddin Nasution Ismail berkata keputusan ini dicapai dalam resolusi Majlis Pemukiman Pimpinan PKR1/2019 yang berlangsung selama 3 hari bermula Jumaat lalu.

“Kami telah berbincang secara jujur, terbuka dan mencapai resolusi bersama.

“Program ini menjadi platform pimpinan bermuhasabah, menggilap kembali idealisme perjuangan, mengukuhkan disiplin dan perpaduan parti, menilai kembali rekod perkhidmatan selama setahun sebagai kerajaan persekutuan dan bagaimana PH bergerak ke depan,” katanya dalam satu kenyataan.

PKR mengadakan Majlis Pemukiman Pimpinan PKR di Port Dickson bermula 19 Julai lalu hingga hari ini.

Pemukiman itu melibatkan semua pimpinan seluruh negara, termasuklah anggota Majlis Pimpinan Pusat, ahli Dewan Rakyat, ahli Dewan Negara, serta Adun.

Bagaimamapun, beberapa pimpinan tidak hadir antaranya Timbalan Presiden Azmin Ali dan pimpiman kanan lain.

Saifuddin berkata PKR bertekad memperkukuhkan parti sebagai tonggak nasional pelbagai kaum berdasarkan prinsip perlembagaan dan memastikan manifesto PH terlaksana.