Polis siasat aksi budak lelaki meniarap atas atap kereta

Gambar media sosial menujukkan aksi 2 budak lelaki meniarap di atas cermin belakang sebuah kereta yang sedang bergerak. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Polis Johor mengesahkan menerima laporan berkenaan 2 budak lelaki yang dilihat meniarap di atas atap kereta yang sedang bergerak di Pasir Gudang.

Ketua Polis Seri Alam Ismail Dollah berkata, satu laporan dibuat selepas seorang pengguna media sosial membuat aduan hari ini mengenai kejadian itu, yang dipaparkan dalam satu klip video di laman Facebook milik Komuniti Taman Scientex.

“Perbuatan mereka dan pemandu adalah berbahaya kepada diri sendiri dan juga pengguna jalan raya lain, kata Ismail, seperti dilaporkan Star Online.

“Bukan itu sahaja, kereta itu dilihat memecut melanggar satu lampu merah” katanya.

Polis meminta saksi kejadian memberikan maklumat bagi menentukan identiti pemilik atau pemandu kereta terbabit serta 2 budak itu.

Dua budak lelaki tersebut dilihat duduk di atas but, selain meniarap di atas cermin belakang kereta yang bergerak di sebatang jalan yang sibuk, dipercayai di Taman Scientex, Pasir Gudang.

FMT sedang berusaha mendapatkan maklumat lanjut daripada pengguna yang membuat hantaran kejadian itu di laman sosial.

Ismail berkata, polis telah memulakan siasatan bagi mengenal pasti pemilik atau pemandu kereta terbabit serta 2 budak berkenaan.

Beliau menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian supaya menghubungi talian telefon polis negeri di 07-2212999 atau membuat laporan di balai polis berdekatan.