Proses pemulihan bekalan air di Selangor capai 67%

Semalam, 1,133 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat terjejas dengan gangguan air tidak berjadual ekoran insiden pencemaran bau. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Proses pemulihan bekalan air di 7 wilayah terjejas di Selangor dan Kuala Lumpur akibat pencemaran bau mencapai tahap 67% sehingga pukul 3 petang semalam.

Ketua Pengawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Suhaimi Kamaralzaman berkata peratus pemulihan berdasarkan akaun pelanggan berdaftar bagi wilayah Kuala Lumpur adalah 64%, wilayah Petaling adalah 67% manakala bekalan air di wilayah Hulu Selangor dipulihkan sepenuhnya.

“Kami menyasarkan pemulihan bekalan air di sebanyak 16 kawasan di Petaling dan 156 kawasan di Kuala Lumpur akan dipulihkan sepenuhnya esok (21/7/2019) pada 12 tengah hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Suhaimi berkata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Hee Loy Sian melawat kawasan pencemaran iaitu di Sungai Liam, Batang Kali, Hulu Selangor yang dikenal pasti daripada hasil siasatan Unit Kualiti Air Selangor, Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dan Majlis Daerah Hulu Selangor.

Suhaimi juga berkata pihaknya menggerakkan sebanyak 75 lori tangki air, mengaktifkan 16 Pusat Khidmat Setempat serta 17 lokasi pili awam bagi menyalurkan bantuan air kecemasan kepada pelanggan yang terjejas.

“Pihak kami sedang meneruskan usaha menstabilkan aliran dan tekanan di sistem agihan dan mempercepatkan proses pemulihan bekalan air ke seluruhan kawasan.

Katanya orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat dan status terkini gangguan bekalan air itu boleh melayari laman sesawang www.syabas.com.my, Aplikasi Air Selangor, Facebook Air Selangor dan Twitter @airselangor.

Semalam, 1,133 kawasan melibatkan 1,166,842 akaun pelanggan di wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat terjejas dengan gangguan air tidak berjadual ekoran insiden pencemaran berkenaan.